Berita: PROGRAM BRISK WALK PRA PEMBUKAAN TAMAN BOTANI TUN FUAD STEPHENS, BUKIT PADANG
25 OKTOBER 2025: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah mengadakan Program Brisk Walk Pra Pembukaan di Taman Botani Tun Fuad Stephens, Bukit Padang pada 24 Oktober 2025 sebagai persiapan sebelum taman tersebut dibuka semula kepada orang awam.
Program ini bertujuan untuk menilai tahap keselamatan, kesesuaian serta keadaan semasa laluan joging dan hiking, bagi memastikan taman berada dalam keadaan terbaik dan selamat untuk digunakan oleh pengunjung.
Hasil tinjauan semasa program ini mendapati bahawa aktiviti pembinaan di kawasan trek joging tidak lagi melibatkan kerja berat, sebaliknya lebih tertumpu kepada kerja-kerja kekemasan dan penyelesaian akhir.
Berdasarkan penilaian tersebut, ia akan dibuka semula kepada orang awam bermula Isnin, 27 Oktober 2025.
Selain itu, laluan hiking turut dibuka kepada orang awam kecuali Trek Hiking No. 2, memandangkan laluan tersebut melalui kawasan Pusat Botani yang masih dalam proses pembinaan aktif.
Walau bagaimanapun, beberapa kawasan lain masih ditutup sepenuhnya kerana masih dalam fasa pembinaan dan belum selamat untuk digunakan, antaranya termasuk Commercial Plaza, Boardwalk dan Lake Walk, Conservatory Park, Bamboo Corner serta Herb Garden.
Waktu operasi taman ditetapkan dari 6.00 pagi hingga 7.00 malam setiap hari, dengan mengambil kira masih terdapat kerja-kerja pembinaan dan penyediaan kemudahan di beberapa kawasan.
Orang awam tidak dikenakan sebarang bayaran untuk mengunjungi Taman Botani bagi aktiviti rekreasi seperti berjoging, jungle trekking, dan lain-lain.
DBKK turut menegaskan bahawa sebarang pencerobohan ke kawasan larangan adalah dilarang sama sekali, dan DBKK tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kemalangan atau kecederaan yang berlaku akibat pelanggaran arahan keselamatan tersebut.
DBKK menyeru agar orang awam sentiasa mematuhi arahan keselamatan, menjaga kebersihan serta menggunakan kemudahan yang disediakan dengan berhemah, agar Taman Botani Tun Fuad Stephens terus menjadi destinasi riadah yang indah, selamat dan lestari untuk dinikmati bersama.
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDisediakan oleh:
Bella Berhaman
Pegawai PeneranganMohd. Asruddey Rusli
Jurugambar



