Skip to main content

Berita: TAMAN BOTANI TUN FUAD STEPHENS SABAH, BUKIT PADANG DIBUKA SEMULA MULAI 27 OKTOBER 2025

  • -

    25 OKTOBER 2025: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan membuka semula sebahagian Taman Botani Tun Fuad Stephens Sabah, Bukit Padang kepada umum bermula 27 Oktober 2025, dari pukul 6.00 pagi hingga 7.00 malam setiap hari.

    Dengan pembukaan semula ini, orang ramai kini boleh mengunjungi taman untuk melakukan aktiviti riadah seperti berjoging, berjalan dan mendaki. Laluan joging utama serta laluan mendaki telah dinilai selamat untuk digunakan, manakala kerja-kerja di kawasan berdekatan kini hanya melibatkan kekemasan dan pelengkap.

    Untuk makluman, kerja-kerja naik taraf yang sedang dilaksanakan ketika ini tidak melibatkan laluan mendaki hingga ke puncak bukit. Pembangunan bagi kawasan tersebut akan dilaksanakan pada fasa seterusnya, tertakluk kepada peruntukan daripada Jabatan Landskap Negara.

    Buat masa ini, beberapa kawasan masih ditutup sepenuhnya atas faktor keselamatan bagi memberi laluan kepada pengemasan pembinaan, ini termasuk Trek Mendaki No. 2, Pusat Botani (Botanical Centre), Commercial Plaza, Boardwalk dan Lake Walk, Conservatory Park, Bamboo Corner serta Herb Garden.

    Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati memandangkan kenderaan-kenderaan berat masih melalui kawasan trek joging untuk menghantar bahan binaan ke kawasan yang masih ditutup.

    Orang awam boleh mengunjungi Taman Botani Tun Fuad Stephens Sabah tanpa dikenakan sebarang yuran kemasukan, sambil menikmati kemudahan dan keselesaan melakukan aktiviti-aktiviti seperti berjoging, berjalan dan mendaki.

    Walau bagaimanapun, yuran kemasukan bagi kemudahan-kemudahan tertentu akan dimaklumkan dari masa ke masa.

    Orang ramai diminta untuk sentiasa mematuhi peraturan dan larangan taman yang berikut:

    Image removed. Jaga kebersihan dan tidak membuang sampah merata-rata tempat.

    Image removed. Guna laluan yang ditetapkan.

    Image removed. Patuh arahan dan papan tanda peraturan taman.

    Image removed. Patuh arahan Pegawai DBKK yang bertugas.

    Image removed. Dilarang memetik tanaman atau bunga.

    Image removed. Dilarang merokok atau menyalakan api.

    Image removed. Dilarang merosakkan harta benda taman.

    Image removed. Dilarang membuat bising.

    Image removed. Dilarang membawa binatang peliharaan.

    Dalam masa yang sama, pengunjung diingatkan bahawa aktiviti memancing, barbeku, berkhemah dan berbasikal (termasuk basikal bukit) adalah tidak dibenarkan sama sekali di kawasan taman ini.

    Aktiviti basikal bukit yang dijalankan sebelum ini juga telah dihentikan sepenuhnya selepas perbincangan bersama Persatuan Berbasikal Sabah, dan pihak persatuan telah bersetuju untuk mencari lokasi baharu bagi latihan dan aktiviti mereka.

    DBKK menyeru agar orang ramai sentiasa mematuhi peraturan dan menjaga kebersihan taman demi keselamatan serta kelestarian persekitaran semula jadi Taman Botani Tun Fuad Stephens Sabah, Bukit Padang.

    Sumber Info: Jabatan Botani, DBKK
    Foto: Mohd. Asruddey Rusli dan Jabatan Botani, DBKK

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Disediakan oleh:
    Bahagian Media dan Komunikasi
    JPPA, DBKK