Berita: KUNJUNGAN HORMAT ROTARY PEARL KE DBKK: KEPIMPINAN BAHARU, ASPIRASI BAHARU
27 OKTOBER 2025: Rotary Club of Kota Kinabalu Pearl (RCKK Pearl) telah mengadakan kunjungan hormat ke Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) pada 16 Oktober 2025.
Kunjungan ini telah dipengerusikan oleh Puan Faradillah binti Haji Abdul Rani, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Khidmat Pengurusan) DBKK, bersama dua orang pegawai DBKK. Delegasi RCKK Pearl pula diketuai oleh Datin Jeanette Tambakau, Presiden RCKK Pearl, bersama lima orang Ahli Lembaga Pengarah.
Tujuan utama kunjungan ini adalah untuk memperkenalkan Ahli Lembaga Pengarah baharu bagi sesi 2025–2026, di samping membentangkan pelan tindakan yang dirancang oleh kelab bagi tempoh berkenaan.
Antara projek utama yang diketengahkan termasuk Project Kelip-Kelip & Mangrove Tree Planting yang menumpukan kepada aspek pelancongan regeneratif, pendidikan alam sekitar dan pemerkasaan komuniti. WASH Project yang memberi tumpuan kepada penyediaan air bersih untuk komuniti luar bandar, serta Project Real yang bertujuan mengurangkan jurang literasi Bahasa Inggeris antara pelajar luar bandar dan bandar.
Pertemuan ini telah membuka ruang kepada perkongsian aspirasi dan mewujudkan landasan kerjasama strategik antara RCKK Pearl dan DBKK. Ia turut memperkukuh usaha bersama dalam mempertingkatkan pembangunan sosial serta pemerkasaan komuniti di Kota Kinabalu, selaras dengan visi DBKK untuk merealisasikan bandar raya yang hijau, mampan dan berdaya huni.
DBKK merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kunjungan hormat tersebut dan berharap agar hubungan baik ini dapat diteruskan melalui pelaksanaan pelbagai program komuniti yang menyokong aspirasi Bandaraya Kota Kinabalu sebagai bandar raya yang lestari dan sejahtera.
Sumber daripada:
Angela Lee Siang YuanMohd. Asruddey Rusli
Jurugambar



