Berita: KEMPEN KESEDARAN ‘MY CITY, MY RESPONSIBILITY’ 2.0 TAHUN 2025, SEMAI AMALAN HIJAU DALAM KOMUNITI
25 NOVEMBER 2025: Seiring usaha meningkatkan kesedaran umum terhadap kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal telah menganjurkan Kempen Kesedaran ‘My City, My Responsibility’ 2.0 Tahun 2025, bertempat di City Mall, pada 22 November 2025.
Kempen yang dianjurkan dengan kerjasama City Mall ini bertujuan untuk mendidik masyarakat untuk lebih bertanggungjawab menjaga kebersihan dan persekitaran bagi menjadikan Kota Kinabalu sebagai sebuah bandar raya yang bersih, hijau dan berdaya huni.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Encik Robert Lipon, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Operasi), DBKK selaku Pengerusi Penganjur majlis yang hadir mewakili YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu.
Hadir sama ialah Encik Leong Tze Fui, Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, DBKK selaku Pengerusi Pelaksana Majlis dan Puan Jenny Chin, Mall Manager, City Mall.
Antara yang menjadi sorotan juga adalah Majlis Pelancaran Jawatankuasa Pengurusan Sisa Komuniti (JPSK). Encik Robert Lipon telah menyempurnakan sesi penyerahan watikah kepada JPSK yang dilantik, iaitu Encik Mohammad Hasanah bin Mulkaseh, Pengerusi JPSK Kg. Cenderamata II dan Encik Dabalun bin Hj. Balau, Pengerusi JPSK Kg. Warisan Inanam.
Jawatankuasa ini terdiri daripada penduduk kampung itu sendiri yang akan bertindak dan bertugas dalam satu pasukan bagi memastikan pengurusan sisa komuniti di kampung mereka sentiasa teratur, selamat dan dapat menjana pendapatan kepada jawatankuasa dan penduduk kampung sendiri.
Fungsi utama penubuhan jawatankuasa ini adalah bagi membantu kampung-kampung di sekitar bandar raya yang tidak mempunyai kaedah pelupusan sampah yang teratur, dengan penekanan kepada tiga (3) elemen utama, iaitu Pengasingan Sampah, Pemulihan Bahan dan Penghasilan Kompos Daripada Sisa Makanan.
Penyertaan lebih 250 peserta dalam pertandingan-pertandingan yang dianjurkan telah menyemarakkan lagi suasana di sekitar kempen ini. Berikut adalah senarai penuh pemenang mengikut pertandingan:
PERTANDINGAN KUTIPAN BERAT KITAR SEMULA ANTARA SEKOLAH-SEKOLAH
I.) Kategori Sekolah Rendah
: SJK (C) Shan Tao
: SJK (C) Chung Hwa Kota Kinabalu
: SK Kitobu Inanam
II.) Kategori Sekolah Menengah
: SMK Taman Tun Fuad
: SMK Sanzac
: SMK Tebobon Kota Kinabalu
PERTANDINGAN KUTIPAN BERAT KITAR SEMULA ISI RUMAH
I.) Kategori Barangan Kitar Semula
: Yeoh Yi Ru
: Lam Yee Chang
: Tang Chek Kok
II.) Kategori Minyak Masak Terpakai
: Mohammad Hasanah
: Jessica Chong Mah Mee
: Jesse L Unding
PERTANDINGAN VIDEO PENDEK 'RECYCLE FOR A BETTER FUTURE'
: Alexandria Edith John
PERTANDINGAN MEWARNA DAN MELUKIS
I.) Pertandingan Mewarna (10-12 tahun)
: Winson Kong Yung Chen
: Soleyha Syazzya
: Aaron Junior Fready
II.) Pertandingan Melukis (13-17 tahun)
: Yeong Tian
: Khayla Nurazalia
: Charlieze Ariana Oh
TEKA BERAT PUNTUNG ROKOK
: Yong Yun Seng
MY LITTLE CITY STARS
I.) Kategori Individu
: Bradley Kyle Isaac Baillye
: Dyan Humayra binti Taufik Hidayat
: Reysha Nur Adreena
III.) Kategori Berkumpulan
: Nina Chiddos
: The Shell Spirits
: Jumbo The Great And Powerful
Kesemua pemenang dalam pertandingan ini membawa pulang hadiah berupa wang tunai, piala dan sijil.
Turut menjadi tumpuan ramai adalah Jualan Produk Upcycle oleh komuniti, yang menampilkan barangan perhiasan seperti gelang, rantai kunci yang diperbuat daripada plastik terpakai, beg dan apron yang diperbuat daripada pakaian terpakai. Selain itu, turut berlangsung pembukaan reruai daripada jabatan-jabatan DBKK, iaitu Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Jabatan Penyelidikan, Inovasi dan Hal Ehwal Antarabangsa (Smart City Friends).
Semoga inisiatif ini menjadi pemangkin kepada pembentukan komuniti yang lebih bertanggungjawab dan berdaya saing dalam melestarikan alam sekitar. Tahniah kepada semua peserta!
Liputan: Eleanor Michelle Patrick
Foto: Renaldo Fernandez dan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, DBKK#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestari
#KKBersihDanHijauDikeluarkan oleh:
Bahagian Media dan Komunikasi
JPPA, DBKK



