Berita: MAJLIS WATIKAH PELANTIKAN SESI 2025–2027 DAN PELANCARAN LOGO RASMI MAJLIS KANAK-KANAK DEWAN BANDARAYA KOTA KINABALU (MKK-DBKK)
2 Disember 2025: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melakar satu lagi pencapaian signifikan menerusi penganjuran Majlis Watikah Pelantikan Sesi 2025–2027 dan Pelancaran Logo Rasmi Majlis Kanak-Kanak DBKK (MKK-DBKK) yang diadakan pada 1 Disember 2025.
Majlis penuh bermakna ini disempurnakan oleh Datuk Sr. Lifred Wong, Ketua Pengarah yang mewakili Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu.
Turut hadir memberikan sokongan ialah wakil UNICEF Malaysia, Ahli Lembaga Penasihat DBKK, ketua-ketua jabatan, para guru, wakil NGO serta ibu bapa, menzahirkan komitmen bersama terhadap agenda Kota Kinabalu sebagai bandar mesra kanak-kanak.
Seramai 18 ahli MKK-DBKK menerima Watikah Pelantikan bagi sesi 2025–2027, sekali gus membentuk barisan pertama kepimpinan kanak-kanak di bawah naungan DBKK. Mereka dipilih melalui proses yang telus melibatkan sekolah dan komuniti berdasarkan ciri kepimpinan, keterampilan serta keupayaan mewakili suara rakan sebaya. Pelantikan ini menjadi bukti pengiktirafan terhadap peranan generasi muda sebagai rakan pembangunan bandar raya.
Majlis ini turut menyaksikan Pelancaran Logo Rasmi MKK-DBKK, yang dihasilkan melalui penyertaan kreatif kanak-kanak seluruh Kota Kinabalu menerusi Pertandingan Mereka Cipta Logo.
Rekaan terpilih mencerminkan identiti, aspirasi dan semangat MKK-DBKK yang berteraskan kreativiti, perpaduan serta keterangkuman, nilai penting dalam pembentukan bandar raya yang benar-benar mesra kanak-kanak. Pemilihan dibuat secara profesional oleh panel yang terdiri daripada wakil institusi seni, akademik dan UNICEF.
Secara keseluruhannya, Majlis Watikah Pelantikan ini mencerminkan langkah kukuh DBKK dalam memperkasa agenda bandar mesra kanak-kanak, memperluas penyertaan komuniti muda, serta membentuk ekosistem bandar yang lebih responsif, selamat, inklusif dan sejahtera.
DBKK kekal komited memupuk kerjasama erat bersama UNICEF, agensi kerajaan, pihak sekolah, NGO dan komuniti, demi memastikan manfaat usaha ini terus dirasai generasi hari ini serta diwariskan kepada generasi masa hadapan.
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestari
#ChildFriendlyCitiesInitiative
#MKKDBKKLaporan disediakan oleh:
Unit Penerangan, Pejabat Mayor DBKK
Bella Berhaman
Pegawai PeneranganMohd. Asruddey Rusli
Jurugambar



