Berita: LAWATAN SAMBIL BELAJAR MAJLIS PERBANDARAN PENGERANG KE DBKK, WADAH PERKONGSIAN AMALAN TERBAIK PEMBANGUNAN PELANCONGAN DAN KELESTARIAN BANDAR RAYA
09 DISEMBER 2025: Seiring usaha memperluas jalinan kerjasama dalam pembangunan pelancongan dan kelestarian bandar raya, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) berbesar hati menerima lawatan sambil belajar daripada Majlis Perbandaran Pengerang, di Dewan Mesyuarat, Bangunan DBKK, pada 05 Disember 2025.
Hadir mempengerusikan lawatan ini adalah Encik Victor Gerard Kuasi, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan Kewangan), DBKK bersama-sama Ketua-ketua Jabatan dan pegawai-pegawai kanan, DBKK.
Rombongan Majlis Perbandaran Pengerang yang diketuai oleh Encik Norazmi bin Amir Hamzah, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pengerang ini disertai oleh seramai 42 orang wakil, mereka terdiri daripada Setiausaha, Ketua-ketua Jabatan dan Unit, Ketua Whip Ahli Majlis, Ahli-ahli Majlis serta Pegawai-pegawai kanan daripada pelbagai jabatan.
Fokus utama lawatan ini adalah penyampaian taklimat bertajuk “Strategi Pengurusan Pelancongan Bandaraya Kota Kinabalu” oleh Puan Darna binti Badawi, Pengarah Jabatan Pelancongan dan Kesejahteraan Masyarakat, DBKK.
Para hadirin turut diberi ruang untuk mengemukakan pertanyaan serta berkongsi pengalaman melalui sesi interaktif dan soal jawab. Interaksi dua hala ini penting bagi memastikan kefahaman yang lebih jelas selain bertukar pandangan berkaitan tajuk yang telah dibentangkan.
Semoga segala perkongsian yang disampaikan menerusi pertemuan ini mengeratkan lagi sinergi di antara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam menambah baik sistem tadbir urus bandar raya.
Terima kasih Majlis Perbandaran Pengerang.
Liputan: Eleanor Michelle Patrick
Foto: Renaldo Fernandez#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDikeluarkan oleh
Bahagian Media dan Komunikasi
Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK



