Berita: SAMBUTAN PERAYAAN KRISMAS GABUNGAN MANGGATAL-INANAM 2025 DISEMARAKKAN MENERUSI TEMA “MENGASIHI SESAMA”
10 DISEMBER 2025: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dengan kerjasama Majlis Gereja-Geraja Manggatal (MGGM) dan Majlis Gereja-Gereja Inanam (MGGI) telah menganjurkan Sambutan Perayaan Krismas Gabungan Manggatal-Inanam 2025, di Dewan Masyarakat Manggatal, pada 05 hingga 07 Disember 2025.
Membawa tema “Mengasihi Sesama”, sambutan pada kali ini menekankan mesej bahawa kasih yang tulus dizahirkan menerusi tindakan, iaitu dengan saling membantu serta memupuk hubungan harmoni dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum dan agama.
Majlis perasmian sambutan ini telah disempurnakan oleh YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi merangkap Ahli Parlimen P.171 Sepanggar. Sebagai tanda keprihatinan bersempena dengan perayaan Krismas, beliau turut menyampaikan sumbangan wang tunai dan bakul makanan kepada wakil gereja-gereja di kawasan Sepanggar.
Turut hadir ialah Encik Robert Lipon, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), DBKK mewakili Mayor Bandaraya Kota Kinabalu; Penatua Jabid Timbangan, Setiausaha Eksekutif Majlis Gereja-Gereja Sabah (SCC) mewakili Presiden Majlis Gereja-Gereja Sabah (SCC); Reverend Sabry Daniel, Pengerusi MGGM merangkap Paderi Penguasa, Gereja Anglikan Manggatal & Gereja Anglikan Telipok; Pastor Bios Solingkin, Pengerusi MGGI merangkap Pastor Gereja SIB Metro, City Mall; Penatua Profesor Dr. Jidon Janaun, Pengerusi Pelaksana Bersama Sambutan Perayaan Krismas Gabungan Manggatal-Inanam 2025 dan Puan Ivylenda Rubbin Guribah, Pengerusi Pelaksana Bersama Sambutan Perayaan Krismas Gabungan Manggatal-Inanam 2025.
Sambutan selama tiga (3) hari ini diraikan dalam suasana penuh kebersamaan yang diterjemahkan menerusi penganjuran pelbagai aktiviti dan persembahan-persembahan hiburan. Orang ramai yang hadir juga berpeluang menyertai Cabutan Berkat, selain melawat ke gerai-gerai jualan termasuk Jualan Rahmah yang diadakan di pekarangan dewan.
Pada hari pertama, tirai acara dibuka dengan persembahan tarian kreatif bertemakan Krismas daripada kumpulan belia Empower Gen, sebelum diteruskan dengan nyanyian lagu-lagu Krismas oleh kumpulan gabungan MGGM dan MGGI, Gereja Basel Inanam yang menyemarakkan lagi suasana di sekitar acara.
Momentum kemeriahan diteruskan pada hari kedua sambutan ini, dengan persembahan daripada SIB Pekan Manggatal Children Ministry, Praise and Worship Gabungan Majlis Gereja-Gereja Manggatal-Inanam, Tarian Manggatal Anglikan Church, Persembahan Koir oleh BCCM BC Pekan Manggatal serta persembahan SIB Pekan Manggatal Youth.
Antara yang menjadi tumpuan ramai pada majlis penutupan sambutan ini ialah nyanyian Karoling daripada Anglikan dan BCCM, Drama Tari Anglikan Manggatal, Nyanyian Duo oleh Basel Manggatal, Anglikan Kristus Bangkit, Inanam, persembahan Tarian SIB Metro, persembahan Koir oleh SIB Pekan Manggatal sebelum diakhiri dengan persembahan Medley Natal oleh Anglikan & BCCM dan semua AJK.
Semoga kerjasama yang terjalin di antara komuniti dan jawatankuasa diteruskan pada masa akan datang.
Liputan: Eleanor Michelle Patrick
Foto: Renaldo Fernandez#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDikeluarkan oleh:
Bahagian Media dan Komunikasi
Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK



