Berita: DBKK TERIMA KUNJUNGAN HORMAT MALAYSIA AIRPORTS BERHAD (MAB), PERKUKUH SINERGI STRATEGIK RENTAS AGENSI
16 DISEMBER 2025: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) hari ini menerima kunjungan hormat daripada Malaysia Airports Berhad (MAB) - Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTABKK) sebagai platform memperkukuh kerjasama rentas agensi demi pengurusan bandar raya yang lebih teratur, selamat dan mampan.
Ketibaan delegasi Malaysia Airports Berhad yang diketuai oleh Encik Hj. Jefry bin Ramli, Pengurus Kanan bersama Encik Vincent Arnold Soueng, Senior Executive (Commercial), telah disambut oleh Encik Robert Lipon, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Operasi), DBKK.
Hadir sama dalam kunjungan ini ialah barisan Ketua-ketua Jabatan DBKK, iaitu Encik Rozie Khan, Pengarah Jabatan Pelesenan; Encik Mohd. Haniff bin Haji Abdullah, Pengarah Jabatan Penguatkuasaan dan Puan Hajah Salmah binti Aplasin, Pengarah Jabatan Landskap serta pegawai-pegawai kanan DBKK daripada Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya dan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal.
Antara fokus utama perbincangan adalah penguatkuasaan Undang-undang Kecil (UUK) (Pengawalan dan Pelesenan Tempat Letak Kereta Persendirian) Bandaraya Kota Kinabalu 2018, di mana pihak Malaysia Aiports Berhad telah menyatakan komitmen penuh untuk mengemukakan permohonan lesen tempat letak kereta persendirian, selari dengan keperluan tadbir urus memiliki piawaian tinggi dan telus.
Selain itu, turut dibincangkan secara konstruktif ialah isu-isu strategik, termasuk tempat letak kereta haram di kawasan LTABKK, pengurusan anjing liar, aspek kebersihan dan keteraturan persekitaran serta kawalan dan pematuhan pelesenan perniagaan di kawasan seliaan Malaysia Airports Berhad.
Pertemuan ini mencerminkan pendekatan kolaboratif yang berorientasikan penyelesaian sekali gus membuka ruang kepada inisiatif bersama yang berimpak tinggi, demi meningkatkan keselesaan pengguna, imej serta pengalaman pelawat ke Bandaraya Kota Kinabalu.
DBKK akan terus komited untuk memperkukuh sinergi strategik bersama rakan-rakan utama industri, ke arah pembangunan bandar raya yang lebih tersusun, berdaya saing dan lestari.
Sumber Info dan Foto: Jabatan Pelesenan, DBKK
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDikeluarkan oleh:
Bahagian Media dan Komunikasi
Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK



