Berita: BENGKEL SIRI 1: PENGHASILAN STRATEGIC VIEW, MOTIVATIONAL VIEW, CAPABILITY VIEW DAN CUSTOMER JOURNEY DALAM PEMBANGUNAN ENTERPRISE ARCHITECTURE (EA)
18 DISEMBER 2025: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bersama Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menganjurkan Bengkel Siri 1: Penghasilan Strategic View, Motivational View, Capability View dan Customer Journey dalam Pembangunan Enterprise Architecture (EA), di Horizon Hotel, pada 15 Disember 2025.
Bengkel yang berlangsung mulai 8 pagi hingga 2 petang ini telah dihadiri oleh Ketua-ketua Jabatan serta pegawai-pegawai kanan, DBKK sebagai sebahagian daripada usaha berfasa untuk memperkukuh perancangan dan pelaksanaan EA di DBKK.
Ucapan pembukaan bengkel telah disampaikan oleh YBhg. Datuk Sr. Lifred Wong, Ketua Pengarah, DBKK yang menekankan kepentingan EA sebagai asas strategik dalam menyokong tadbir urus, transformasi digital dan penyampaian perkhidmatan yang lebih berkesan.
Objektif utama bengkel ini adalah untuk mengumpulkan maklumat kritikal daripada Ketua-ketua Jabatan, DBKK bagi menyokong pembangunan EA, DBKK.
Input serta pandangan strategik daripada pihak pengurusan atasan amat penting bagi memastikan dokumen EA yang dibangunkan adalah selaras dengan visi, misi, keutamaan strategik dan keperluan sebenar organisasi.
Usaha ini turut berpandukan kepada dapatan awal daripada sesi temu bual yang telah dijalankan oleh UMS bersama YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu pada 10 Disember 2025.
Sepanjang bengkel berlangsung, para peserta terlibat secara aktif dalam sesi perbincangan, perkongsian pandangan serta pengenalpastian keupayaan organisasi dan pengalaman pelanggan yang menjadi elemen penting dalam pembentukan EA.
Penyertaan penuh barisan pengurusan DBKK dalam bengkel ini mencerminkan komitmen berterusan untuk memperkukuh nilai dan keberkesanan perkhidmatan awam, sejajar dengan transformasi Bandaraya Kota Kinabalu ke arah bandar raya maju, lestari dan mesra digital dengan penyampaian perkhidmatan yang cekap, berkualiti, telus dan berintegriti.
Sumber Info dan Foto: Jabatan Teknologi Maklumat dan Pendigitalan, DBKK
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDikeluarkan oleh:
Bahagian Media dan Komunikasi
Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK



