Berita: LAWATAN KERJA PEMBANTU MENTERI KEPADA KETUA MENTERI MERANGKAP MENTERI BERTANGGUNGJAWAB KEPADA DBKK KE MALAYSIA AIRPORTS SDN. BHD.
29 JANUARI 2026: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) diketuai oleh Encik Robert Lipon, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) bersama Ketua Jabatan dan pegawai DBKK telah mengiringi YB Datuk Joniston Bangkuai, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri merangkap Menteri Bertanggungjawab Kepada DBKK dalam siri lawatan kerjanya ke Malaysia Airports Sdn. Bhd.
Lawatan ini bertujuan untuk meninjau kemudahan dan fasiliti yang tersedia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTABKK), khususnya aspek kebersihan tandas-tandas awam susulan aduan daripada orang awam.
Rombongan telah diberi taklimat ringkas oleh Tuan Haji Jefry bin Ramli, Pengurus Kanan, LTABKK berkaitan tindakan penambahbaikan yang telah dilaksanakan bagi memastikan tahap kebersihan dan keselesaan fasiliti awam sentiasa berada pada tahap yang terbaik.
YB Datuk melalui lawatan ini menekankan pemantauan berterusan terhadap tahap kebersihan tandas awam perlu dilaksanakan bagi membolehkan tindakan segera diambil. Hal ini penting kerana LTABKK merupakan pintu masuk utama pelancong ke negeri ini.
Di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), DBKK juga akan meneruskan tindakan pemantauan tahap kebersihan dan kualiti tandas-tandas awam ini agar mencapai piawaian kebersihan Bersih, Menawan dan Wangi (BMW), selain melaksanakan pengauditan dan penarafan bintang tandas awam berlandaskan kriteria pemarkahan yang ditetapkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Lawatan kerja ini mencerminkan komitmen berterusan dalam memastikan kemudahan awam di pintu masuk utama ke Bandaraya Kota Kinabalu sentiasa berada pada tahap terbaik.
Liputan: Eleanor Michelle Patrick
Foto: Renaldo Fernandez#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDikeluarkan oleh:
Bahagian Media dan Komunikasi
Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK



