Berita: MAJLIS BACAAN SURAH YASIN, TAHLIL DAN DOA SELAMAT, ZAHIR KESYUKURAN BERSEMPENA SAMBUTAN ULANG TAHUN KE-26 BANDARAYA KOTA KINABALU
05 FEBRUARI 2026: Sebagai tanda kesyukuran bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-26 Bandaraya Kota Kinabalu, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah mengadakan Majlis Bacaan Surah Yasin, Tahlil dan Doa Selamat bertempat di Dewan Mesyuarat, Ibu Pejabat DBKK, pada 31 Januari 2026.
Hadir menyerikan majlis ialah YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu bersama-sama isteri, YBhg. Datin Sri Hajah Adreen Aderizza binti Mohammad Soffi.
Turut hadir ialah Sahibul Fadilah Ustaz Abd. Razak bin Hamdin, Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Sabah, YBrs. Dr. Baharuddin bin Othman, Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Sabah bersama isteri, YBrs. Profesor Madya Dr. Nurul Hudani Md. Nawi; serta YBrs. Tuan Karim bin Haji Rahim, Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pembangunan Luar Bandar dan Penguatkuasaan selaku Pengerusi Majlis Bacaan Surah Yasin, Tahlil dan Doa Selamat sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-26 Bandaraya Kota Kinabalu.
Tirai majlis dimulakan dengan ketibaan para jemputan, diikuti dengan pelaksanaan solat fardu Maghrib secara berjemaah sebelum diteruskan dengan bacaan Surah Yasin, tahlil dan doa selamat yang dipimpin oleh pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), serta disusuli dengan tazkirah khas sebagai pengisian rohani.
Dalam majlis tersebut, Dato’ Sri Mayor turut menyampaikan sumbangan kepada Maahad Tahfiz Nahdatul Ilmiah, Taman Sempelang dan Rumah Anak Yatim As-Sakinah, Papar sebagai simbol keprihatinan dan komitmen berterusan DBKK terhadap kebajikan serta pembangunan ummah. Majlis kemudiannya diteruskan dengan solat fardu Isyak secara berjemaah dan jamuan sebelum bersurai.
Hadir sama Ustaz Masnor Manshor, Pegawai Tadbir Agama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Kota Kinabalu serta ketua-ketua jabatan DBKK.
Didoakan semoga segala urusan dan perancangan Sambutan Ulang Tahun Ke-26 Bandaraya Kota Kinabalu dipermudahkan dan semoga seluruh warga bandar raya sentiasa dilindungi serta dikurniakan keamanan dan kesejahteraan yang berpanjangan.
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDisediakan oleh:
Unit Penerangan, Pejabat Mayor DBKK
Bella Berhaman
Pegawai Penerangan
Mohd. Asruddey Rusli
Jurugambar



