Berita: PESTA SELERA KK 2026 MERIAHKAN SAMBUTAN ULANG TAHUN KE-26 DEWAN BANDARAYA KOTA KINABALU
11 FEBRUARI 2026: Penganjuran Pesta Selera KK 2026 sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-26 Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah berlangsung dengan meriah dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai, dengan kehadiran keseluruhan dianggarkan seramai 8,000 pengunjung sepanjang tempoh pesta ini diadakan.
Majlis pelancaran rasmi Pesta Selera KK 2026 telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, pada 6 Februari 2026 bertempat di perkarangan Bangunan DBKK, sekali gus menandakan permulaan kepada sebuah program bandar raya yang berteraskan komuniti, gaya hidup dan pembangunan ekonomi tempatan.
Pesta Selera KK, yang sebelum ini dikenali sebagai Fiesta Makan-Makan, telah dijenamakan semula selaras dengan pendekatan baharu DBKK dalam merangka program bandar yang lebih inklusif dan berimpak tinggi. Penjenamaan ini bukan sekadar perubahan nama, malah mencerminkan peluasan skop penganjuran yang merangkumi elemen keusahawanan kecil, interaksi sosial, gaya hidup bandar serta pembangunan komuniti setempat.
Sebanyak 90 gerai jualan telah disediakan kepada para peniaga tempatan, menawarkan kepelbagaian menu dan cita rasa yang dibahagikan kepada lima zon utama iaitu Zon Western dan Panggang, Zon Artisan, Zon Makanan Etnik, Zon Makanan Viral dan Buah-Buahan serta Zon Food Truck.
Pembahagian zon ini dilaksanakan secara terancang bagi memastikan keselesaan pengunjung, pengurusan aliran orang ramai yang lebih sistematik serta pematuhan terhadap aspek kebersihan dan keselamatan awam.
Sebagai nilai tambah penganjuran kali ini, Zon “Ruang Orang Muda” turut diperkenalkan sebagai platform khusus kepada golongan belia untuk menjalankan aktiviti perniagaan, mempromosikan produk serta menonjolkan kreativiti dan bakat dalam bidang seni, keusahawanan dan inovasi. Inisiatif ini mencerminkan komitmen DBKK dalam memperkasa generasi muda sebagai rakan strategik pembangunan bandar raya.
Secara keseluruhannya, penganjuran Pesta Selera KK 2026 bukan sahaja berperanan sebagai platform mempromosikan kepelbagaian makanan dan budaya tempatan, malah menyumbang kepada pengukuhan ekonomi setempat, penglibatan komuniti serta usaha berterusan DBKK dalam membentuk sebuah bandar raya yang inklusif, dinamik dan berdaya huni.
DBKK merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan penganjuran ini, khususnya urus setia penganjur, para peniaga, agensi terlibat serta orang awam atas sokongan dan kerjasama yang diberikan.
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDikeluarkan oleh:
Unit Penerangan, Pejabat Mayor DBKKBella Berhaman
Pegawai PeneranganMohd. Asruddey Rusli
Jurugambar



