Berita: ARAHAN HENTI KERJA CERUCUK DI TAPAK BINA BERSEBELAHAN TAMAN AUSTRAL, KEPAYAN
22 OKTOBER 2025: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah mengeluarkan arahan henti kerja sementara terhadap aktiviti cerucuk di tapak pembinaan yang terletak berhampiran Taman Austral, Kepayan, berikutan aduan daripada penduduk setempat mengenai gegaran yang dirasai semasa kerja-kerja tersebut dijalankan.
Kerja cerucuk yang dibenarkan di tapak ini adalah jenis 'bore pile', iaitu kaedah yang lazimnya digunakan bagi mengurangkan kesan gegaran berbanding 'displacement pile'. Namun begitu, hasil siasatan awal DBKK bersama pengadu mendapati kerja-kerja yang sedang dilaksana ketika itu hanyalah kerja membuka acuan cerucuk dan disyaki ini adalah punca gegaran yang diadu.
Walau bagaimanapun, bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman penduduk sekitar, DBKK telah mengarahkan pemaju untuk menghentikan sementara kerja cerucuk sehingga langkah-langkah mitigasi lengkap dikaji dan dilaksanakan oleh perunding struktur (C&S) yang dilantik.
Perunding C&S pemaju kini diarahkan untuk menyediakan laporan kajian serta rekomendasi mitigasi bagi mengurangkan impak gegaran, selain memastikan pemantauan terhadap struktur bangunan sedia ada sekiranya berlaku sebarang kesan atau kerosakan.
Sebelum kerja disambung semula, laporan dilapidasi ke atas bangunan sedia ada juga diwajibkan, bagi merekodkan keadaan struktur sebelum pembinaan diteruskan. Sebarang kerosakan yang berlaku akibat kerja pembinaan akan menjadi tanggungjawab penuh pihak pemaju untuk dibaiki.
Terdahulu, satu mesyuarat di Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) yang dipengerusikan oleh YBhg. Datuk Rosemary Ahping, Pengurus Besar LPPB, telah membincangkan permohonan lanjutan masa oleh pemaju. Dalam mesyuarat tersebut, LPPB telah menegaskan keperluan pemaju dan perunding menyediakan pelan mitigasi kawalan bunyi bising yang mematuhi tahap bunyi yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta melaksanakan konsultasi dengan penduduk terkesan, termasuk penyediaan sistem pemantauan bunyi masa nyata (real-time sound monitoring system).
DBKK turut menegaskan bahawa pemaju perlu mematuhi masa kerja yang diluluskan, dan sebarang pelanggaran syarat boleh menyebabkan tindakan penguatkuasaan diambil mengikut undang-undang yang berkuat kuasa.
DBKK akan terus bekerjasama dengan LPPB bagi memantau perkembangan di tapak bina untuk memastikan kerja-kerja pembinaan dijalankan secara selamat, terkawal dan mematuhi keperluan teknikal serta undang-undang demi kesejahteraan penduduk sekitar.
Sumber Info dan Foto: Jabatan Kawalan Bangunan, DBKK
Suntingan: Bahagian Media dan Komunikasi, JPPA#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDikeluarkan oleh:
Bahagian Media dan Komunikasi
JPPA, DBKK



