Berita: Bengkel Citra Kasih 2024, Aktiviti “Mangrove Shellcrafts” Cungkil Bakat Komuniti Luar Bandar
Bengkel Citra Kasih 2024 anjuran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) diteruskan lagi dengan penganjuran aktiviti “Mangrove Shellcrafts” yang telah berlangsung pada 25 Ogos 2024 di Pusat Rumah Budaya, Homestay Darau Wetland Centre.
Penganjuran aktiviti melalui Jabatan Pelancongan dan Kesejahteraan Masyarakat, DBKK ini telah berjaya menarik penyertaan seramai 25 orang yang terdiri daripada pelajar universiti dan pelajar sekolah rendah yang bertujuan untuk mendedahkan kemahiran menghasilkan produk kraftangan berasaskan bahan dan sumber sekitar Kampung Darau.
Menariknya, kraf buatan tangan ini adalah diperbuat daripada kertas tisu (decoupage) dan dilukis menggunakan arylic di atas cengkerang lokan yang hasilnya kemudian boleh dijadikan sebagai cenderamata seperti rantai kunci, pemberat kertas, magnet peti sejuk dan lain-lain.
Hasil kraftangan seumpama ini akan menjadi produk dan tarikan utama Homestay Darau Wetland, khususnya kepada pelancong yang datang berkunjung dan ingin menimba pengalaman menghasilkan kraf buatan mereka sendiri. Ia juga menjadi salah satu inisiatif untuk menjana pendapatan komuniti Kampung Darau.
Bengkel Citra Kasih 2024 yang berlangsung bermula 14 Ogos hingga 01 September 2024 ini akan meneruskan komitmen untuk memboleh daya komuniti luar bandar dengan kemahiran yang menyokong pembangunan mampan dan kesejahteraan bersama.
Untuk maklumat lanjut, warga Bandaraya Kota Kinabalu boleh menghubungi Jabatan Pelancongan dan Kesejahteraan Masyarakat, DBKK di talian 012-3484761.



