Berita: DBKK Anjur Darau Bajau Samah Handicrafts Storytelling, Asah Bakat Penghasilan Kraftangan Komuniti

19 OGOS 2024: ‘Darau Bajau Samah Handicrafts Storytelling’ anjuran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah berlangsung dengan sukses di Rumah Budaya, Homestay Darau Wetland baru-baru ini.
Penganjuran program seumpama ini melibatkan komuniti penting bagi mengasah kemahiran dan kreativiti komuniti, selaras dengan usaha memperkasa kepentingan pemeliharaan warisan etnik budaya tempatan, khususnya dalam penghasilan kraftangan.
Para peserta yang terdiri daripada golongan B40, ibu tunggal wanita, belia dan golongan rentan telah mengambil bahagian dalam penghasilan dokumentari berkaitan sejarah kampung dan kraftangan etnik Bajau Samah dengan penekanan terhadap motif, simbol, teknik dan bahan kraftangan.
Program yang dijayakan menerusi Jabatan Pelancongan dan Kesejahteraan Masyarakat (JPKM) DBKK ini merupakan penganjuran kedua daripada enam (6) program yang dijadualkan sempena Bengkel Citra Kasih 2024. Antaranya ialah Papermaking With Plants (21 Ogos), Mangrove Shellcraft (25 Ogos), Upcycled Wire Crafts (26 Ogos) dan Upcycled Aluminium Cans Crafts (1 September).



