Berita: DBKK LAKSANA OPS DIDIK & TEGUR DI SEKITAR ANJUNG KINABALU DAN ANJUNG SENJA, WUJUDKAN PERSEKITARAN BANDAR RAYA BERSIH, SELAMAT DAN HARMONI
10 APRIL 2025: Seiring usaha mewujudkan persekitaran bandar raya yang lebih selesa dan selamat bagi masyarakat dan pelancong, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah melaksanakan Ops Didik & Tegur di sekitar Anjung Kinabalu dan Anjung Senja, bermula pukul 7.30 malam hingga 9.30 malam, pada 09 April 2025.
Operasi yang diketuai oleh Encik Robert Lipon, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), DBKK ini turut melibatkan usaha sama daripada seramai 51 anggota DBKK yang terdiri daripada Jabatan Pelesenan, Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya dan Jabatan Pengurusan Harta.
Operasi ini telah ditumpukan di sekitar Anjung Kinabalu, iaitu D’Walai Suri dan D’Walai Mata Biru, serta Anjung Senja di mana teguran telah diberikan kepada pengusaha gerai berkaitan etika penyediaan makanan, etika menyantuni pelanggan dan kebersihan di sekitar kawasan gerai masing-masing. Para peniaga turut diberikan amaran tegas untuk mempamerkan tanda harga dengan jelas.
Sementara itu, dua (2) tawaran kompaun di bawah Undang-undang Kecil (UUK) Penjaja 1966 telah dikeluarkan kepada penjaja di D’Walai Mata Biru dan Anjung Senja atas kesalahan menjaja tanpa kebenaran. Manakala, satu (1) keping tawaran kompaun telah dikeluarkan kepada penjaja di Anjung Senja atas kesalahan di bawah UUK Bandaraya Kota Kinabalu (Anti Sampah Sarap) 1984.
DBKK memandang serius usaha untuk menyediakan persekitaran yang bersih, selamat dan harmoni demi keselesaan pengunjung dan pelancong di Bandaraya Kota Kinabalu.
Sehubungan itu, semua pengusaha di sekitar bandar raya diingatkan untuk sentiasa patuh kepada peraturan yang telah dikuatkuasakan. DBKK akan terus komited dalam melaksanakan pemeriksaan dari masa ke masa bagi memastikan tahap pematuhan penjaja sentiasa berada pada tahap terbaik.
Sumber Info: Jabatan Pelesenan, DBKK
Foto: Renaldo Fernandez#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariBahagian Media dan Komunikasi
JPPA, DBKK



