Skip to main content

Berita: DBKK TERIMA LAWATAN KERJA UNIT UNDANG-UNDANG, MAJLIS BANDARAYA JOHOR BAHRU

  • -

    20 JULAI 2026: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menerima lawatan kerja daripada Unit Undang-Undang, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) bertempat di Mahkamah Majistret Bandaraya Kota Kinabalu, Jabatan Perundangan, Centre Point pada 15 Julai 2026.

    Lawatan ini bertujuan memperkukuh perkongsian pengetahuan dan amalan terbaik dalam aspek tadbir urus perbadanan atau syarikat yang berada di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), merangkumi perancangan dan kawalan pembangunan, penyelenggaraan infrastruktur perkhidmatan perbandaran serta pengurusan kawalan perniagaan dan kesihatan.

    Lawatan telah dipengerusikan oleh YBrs. Tuan Sairullizam bin Sukor, Pengarah Jabatan Perundangan, DBKK. Hadir sama ialah Puan Hajah Jainab binti Saidi, Pengarah Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK dan Puan Audrelia Shireen Majawat, daripada DBKK Holdings Sdn. Bhd. (DBKKH).

    Manakala, rombongan MBJB diketuai oleh Encik Maznizam bin Mohd. Sapuan, Penasihat Undang-undang, MBJB yang hadir bersama pegawai-pegawai kanan dan kakitangan Unit Undang-Undang, MBJB.

    Lawatan ini turut memberi peluang kepada rombongan MBJB untuk meninjau operasi di Mahkamah Majistret Bandaraya Kota Kinabalu bagi memperoleh pendedahan secara langsung mengenai proses pengurusan kes sivil dan saman, penguatkuasaan Undang-undang Kecil (UUK), tindakan penyitaan, pengurusan kompaun serta pelaksanaan waran tangkap yang dikendalikan oleh Jabatan Perundangan, DBKK.

    Pengisian utama lawatan ialah sesi taklimat bertajuk “Pengenalan Kepada Undang-undang Kerajaan Tempatan” yang disampaikan oleh Encik Kenny Leo Chia Wen Kok, Pegawai Undang-undang, DBKK.

    Sesi kemudian diteruskan dengan perbincangan interaktif dan soal jawab yang memberi ruang kepada kedua-dua pihak untuk saling bertukar pandangan, berkongsi pengalaman serta mendapatkan penjelasan yang lebih mendalam mengenai pelaksanaan undang-undang dan amalan penguatkuasaan di peringkat PBT.

    Lawatan kerja ini diharap dapat mempertingkatkan kerjasama strategik antara DBKK dan MBJB dalam memperkasakan tadbir urus serta penyampaian perkhidmatan perundangan yang lebih cekap, berkesan dan berintegriti.

    Terima kasih Unit Undang-Undang, Majlis Bandaraya Johor Bahru.

    Liputan: Eleanor Michelle Patrick
    Foto: Renaldo Fernandez

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Dikeluarkan oleh:
    Bahagian Pengurusan Media dan Perhubungan Awam
    Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK