Berita: Gelorakan Semangat Kemerdekaan Anda, DBKK Seru Kibarkan Jalur Gemilang Dan Bendera Negeri Sabah Bermula 01 Ogos Ini
30 JULAI 2024: Menjelang Bulan Kebangsaan Hari Sabah dan Kempen Kibar Bendera yang bakal dilancarkan pada 01 Ogos ini, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, telah bertemu mesra bersama para pekedai dan pemilik premis di sepanjang Jalan Gaya, bagi bersama menyemarak seruan kibarkan Jalur Gemilang dan bendera Negeri Sabah di seluruh bandar raya Kota Kinabalu.
Menerusi satu program ‘walkabout’ yang diadakan di sini, hari ini, beliau yang diiringi oleh barisan Pengurusan Tinggi DBKK telah bersatu hati membuat agihan Jalur Gemilang dan bendera Negeri Sabah kepada pemilik-pemilik lot premis perniagaan di sepanjang Jalan Gaya dan Jalan Pantai, Kota Kinabalu.
Para peniaga turut menzahirkan kata sukacita dan semangat patriotisma mereka dalam bersama menjayakan misi kibarkan Jalur Gemilang dan bendera Negeri Sabah sempena Pelancaran Bulan Kebangsaan Hari Sabah dan Kempen Kibar Bendera yang bakal dilancarkan pada 01 Ogos ini, oleh YAB Ketua Menteri Sabah di pekarangan bangunan DBKK.
DBKK turut memanfaatkan sesi temu mesra ini dengan mengukuhkan semangat kebersamaan dan keharmonian masyarakat Kota Kinabalu yang jelas bersatu-padu dalam meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan Hari Sabah yang bakal menjelang tidak lama lagi.
Turut hadir bersama dalam program ‘walkabout’ ini ialah Pengarah Penerangan Negeri Sabah, Puan Jainisah Mohd. Noor; Puan Dayang Selha binti Ibrahim, Setiausaha Rendah,
Bahagian Pemantauan Agensi Awam dan Pelaburan, Kementerian Kewangan
selaku Ketua Urus Setia Jawatankuasa Pelaksana (Induk) Sambutan Hari Kebangsaan 2024 Peringkat Negeri Sabah dan pegawai-pegawai kanan DBKK.
Kepada semua pemilik premis perniagaan, rumah, bangunan, pejabat, kedai, gerai makan, sekolah, institut pengajian dan semua warga Bandaraya Kota Kinabalu. Ayuh, kita buktikan kebanggaan dan laungkan semangat cintakan tanah air kita dengan kibarkan Jalur Gemilang dan bendera Negeri Sabah.



