Skip to main content

Berita: ISTIADAT PERBARISAN ULANG TAHUN KELAHIRAN RASMI KE-75 TUAN YANG TERUTAMA YANG DI-PERTUA NEGERI SABAH TAHUN 2026

  • -

    02 APRIL 2026: Istiadat Perbarisan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-75 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah Tahun 2026 telah dimeriahkan dengan kehadiran sekitar 5,000 pengunjung di Padang Merdeka Kota Kinabalu, pada 30 Mac 2026.

    Sambutan penuh istiadat ini dimulakan dengan perarakan masuk Kawalan Kehormatan Utama (KKU) Tentera Darat Malaysia daripada Batalion Ke-3 Rejimen Askar Melayu Diraja yang diketuai oleh Kapten Hadi Harris Adnan Izan, melibatkan tiga pegawai dan 103 anggota dengan Pegawai Panji-Panji, Leftenan Muhammad Hakim Jazmee bin Rosmee.

    Keberangkatan tiba Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa bin Haji Aman, Yang di-Pertua Negeri Sabah dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datin Seri Panglima Datuk Hajah Faridah binti Haji Tussin dengan diiringi oleh YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor, Ketua Menteri Sabah bersama isteri, Yang Amat Berbahagia Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag.

    Turut hadir menyempurnakan majlis, YB Datuk Haji Nizam bin Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan, Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Yang Ke-75 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah Tahun 2026; YBhg. Dato Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu selaku Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Istiadat Perbarisan sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Yang Ke-75 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah Tahun 2026.

    Majlis diteruskan dengan pemeriksaan kontinjen perbarisan oleh Tuan Yang Terutama Tun Yang di-Pertua Negeri Sabah, sambil diiringi oleh YBhg. Mejar Jeneral Shamshor bin Hj. Jaafar, Panglima 5 Divisyen.

    Pelbagai pengisian menarik diadakan sepanjang sambutan ini berlangsung, antaranya persembahan tarian yang dibawakan khas oleh kumpulan tari Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) dengan penglibatan daripada kumpulan-kumpulan kesenian seperti Jabatan Kebudayaan Kesenian Negara, Sabah, Borneo Art dan ARTUMS.

    Dengan membawakan tema kesyukuran dan kesetiaan rakyat terhadap kepimpinan Tuan Yang Terutama sebagai payung kedaulatan negeri Sabah, persembahan ini menggabungkan elemen tradisional dan kontemporari yang melambangkan kemajuan negeri di bawah naungannya.

    Dalam pada itu, sebanyak 61 kontinjen perbarisan telah mengambil bahagian dalam Istiadat Perbarisan Sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Yang Ke-75 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah. Berikut adalah senarai penuh pemenang:

    Image removed. KATEGORI SEKOLAH RENDAH

    Johan : SK Pengiran Siti Hafsah Karambunai

    Naib Johan: SK Api-Api Kota Kinabalu

    Image removed. KATEGORI SEKOLAH MENENGAH

    Johan: Kadet Koreksional SMK Pengalat Papar

    Naib Johan: Kadet Bomba dan Penyelamat Malaysia SMK Badin Tuaran

    Ketiga: Pasukan Kadet Bersatu Malaysia Darat SMK Badin Tuaran

    Image removed. KATEGORI IPTA/IPTS

    Johan: Institut Latihan Teknik dan Perdagangan (ILTP) JPSM

    Naib Johan: UNITAR Kota Kinabalu

    Image removed. KATEGORI PERTUBUHAN BUKAN KERAJAAN (NGO)

    Johan: Bulan Sabit Merah Malaysia Kota Kinabalu

    Naib Johan: Kawasan Rukun Tetangga Kota Kinabalu

    Ketiga: Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Negeri Sabah

    Image removed. KATEGORI SWASTA/BADAN BERKANUN

    Johan: Kumpulan Yayasan Sabah

    Naib Johan: Sabah Electricity

    Ketiga: DBKK Holdings Sdn. Bhd.

    Image removed. KATEGORI PERTUBUHAN ETNIK SABAH*

    Johan: Persatuan Kebudayaan Kesenian dan Warisan Bajau Tabawan Sabah Sandakan (SABATA)

    Naib Johan: Persatuan Kebudayaan Kesenian dan Warisan Suluk Sandakan

    Ketiga: Pertubuhan Adat Gabungan Bangsa Tidung Negeri Sabah (PANTAS)

    Image removed. KATEGORI JABATAN KERAJAAN TIDAK BERPAKAIAN SERAGAM RASMI

    Johan: Pejabat Pembangunan Negeri Sabah (ICU JPM Sabah)

    Naib Johan: Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif

    Ke-3: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah

    Ke-4: Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah

    Ke-5: Jabatan Ketua Menteri

    Ke-6: Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah

    Ke-7: Kementerian Pendidikan Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah

    Image removed. KATEGORI JABATAN KERAJAAN BERPAKAIAN SERAGAM RASMI

    Johan: Jabatan Perhutanan Sabah

    Naib Johan: Majlis Perbandaran Sandakan

    Ketiga: Jabatan Kastam Diraja Malaysia Sabah

    Pemenang Johan, Naib Johan dan tempat ketiga bagi semua kategori, masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,500, RM1,300 dan RM1,000 berserta piala iringan dan sijil. Manakala, pemenang di tempat keempat hingga ketujuh masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM800, RM700, RM600 dan RM500 berserta piala iringan dan sijil.

    Tahniah kepada semua kontinjen perbarisan yang mengambil bahagian dalam Pertandingan Berjalan Lalu bagi Istiadat Perbarisan Sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Yang Ke-75 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah!

    Dirgahayu Tuan Yang Terutama Tun!

    Liputan: Eleanor Michelle Patrick
    Foto: Renaldo Fernandez

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Dikeluarkan oleh:

    Bahagian Media dan Komunikasi
    Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK