Berita: KEJOHANAN OLAHRAGA ANTARA SEKTOR DEWAN BANDARAYA KOTA KINABALU 2026
20 JULAI 2026: Semangat juang dan kesukanan menjadi nadi yang menyemarakkan lagi Kejohanan Olahraga Antara Sektor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) 2026 bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Ke-26 Bandaraya Kota Kinabalu, di Stadium Likas pada 14 hingga 15 Julai 2026.
Kejohanan anjuran Jabatan Penguatkuasaan, DBKK dengan kerjasama Lembaga Sukan Sabah, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya dan Rs Athletics Club ini bukan sahaja menjadi platform yang mencungkil bakat dan memperkukuh semangat berpasukan, malah turut membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan warga DBKK.
Majlis Perasmian dan Penutupan kejohanan telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu yang hadir bersama isteri, YBhg. Datin Sri Hajah Adreen Aderizza binti Mohd Soffi. Turut hadir ialah YB Tuan Syed Ahmad Syed Abas, Pengerusi Lembaga Sukan Sabah; YBhg. Datuk Sr. Lifred Wong, Ketua Pengarah, DBKK serta barisan Pengurusan Tinggi, DBKK.
Kejohanan yang berlangsung selama dua hari ini melibatkan penyertaan daripada semua sektor DBKK, yang dibahagikan kepada kategori lelaki dan wanita mengikut kumpulan umur bawah 29, bawah 39, bawah 49, bawah 59 serta kategori Terbuka VVIP.
Acara yang dipertandingkan merangkumi larian 100 meter, 200 meter, 400 meter, 800 meter, 1,500 meter, 3,000 meter, 4x100 meter dan 8x50 meter. Turut dipertandingkan ialah acara padang seperti lontar peluru, lontar lembing dan lompat jauh.
Dalam majlis penutupan, Dato’ Sri Mayor turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang sebagai tanda penghargaan terhadap kecemerlangan prestasi, semangat kesukanan dan komitmen tinggi yang ditunjukkan sepanjang kejohanan. Berikut adalah keputusan penuh Kejohanan Olahraga Antara Sektor DBKK 2026:
Johan: Sektor Operasi
Naib Johan: Sektor Pengurusan Luar Bandar dan Penguatkuasaan
Ketiga: Sektor Khidmat Pengurusan
Ke-4: DBKK Holdings Sdn. Bhd.
Ke-5: Sektor Pengurusan Kewangan:
Ke-6: Sektor Perancangan dan PembangunanDBKK merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan kejohanan ini. Semoga semangat kesukanan, perpaduan dan kebersamaan yang dipupuk terus menjadi inspirasi dalam memperkasakan perkhidmatan kepada warga Bandaraya Kota Kinabalu.
Tahniah kepada semua peserta!
Sumber Info: Jabatan Penguatkuasaan, DBKK
Foto: Renaldo Fernandez#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDikeluarkan oleh:
Bahagian Pengurusan Media dan Perhubungan Awam
Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK



