Berita: Kempen Hari-Hari Bawa Beg Bah Dilancarkan Hari Ini, Seiring Usaha Melestarikan Bandaraya Kota Kinabalu

1 OGOS 2024: Hari ini bermulalah Kempen Hari-hari Bawa Beg Bah dengan rasminya di Bandaraya Kota Kinabalu.
Menerusi inisiatif ini, beg plastik tidak lagi dibekalkan kepada pengguna di sebanyak 858 buah premis pasar raya, kedai serbaneka, kedai runcit, farmasi, stesen minyak, bakeri dan kedai pakaian sekitar bandar raya Kota Kinabalu, sama ada secara berbayar mahupun percuma, sepanjang minggu.
Pelancaran ini menandakan fasa kelima dan terakhir dalam kempen yang telah dimulakan secara rasmi pada 11 September 2023, dengan hanya disertai oleh 36 buah premis pasar raya utama di bandar raya ini.
Gimik pelancaran kempen telah berlangsung di Bataras Marketplace, Jalan Pantai hari ini dengan disempurnakan oleh YB Datuk Abidin Madingkir, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri merangkap Menteri Yang Bertanggungjawab Kepada DBKK sambil disaksikan oleh YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu.
Turut hadir ialah Sr. Lifred Wong, Ketua Pengarah, DBKK; Tuan Robert B. Lipon, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), DBKK dan Dr. Dayang Siti Maryam binti Mohd. Hanan, Penolong Setiausaha Kanan mewakili Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS).
Rombongan kemudian bergerak ke premis perniagaan yang terletak di Jalan Pantai iaitu Big Pharmacy dan Orange, untuk meninjau tahap pelaksanaan Kempen Hari-hari Bawa Beg Bah, sebelum kembali ke bangunan DBKK.
Penganjuran kempen ini merupakan salah satu usaha berterusan dalam memelihara persekitaran semula jadi bandar raya dan memberikan warisan alam yang lebih baik untuk generasi akan datang.
DBKK berharap agar lebih ramai pemilik premis perniagaan di sekitar bandar raya menyokong usaha kempen ini, selaras dengan inisiatif mentransformasikan Kota Kinabalu sebagai bandar raya hijau, berdaya huni dan tanpa plastik.
Tahniah diucapkan kepada semua pihak yang merealisasikan misi Kempen Hari-hari Bawa Beg Bah.
Bah, apa lagi orang KK? Jom kita jayakan misi ini



