Berita: KERJASAMA JABATAN BOTANI, DBKK DAN BORNEO RHINO ALLIANCE (BORA) PERKASA USAHA PEMULIHARAAN BIODIVERSITI SABAH
01 OGOS 2026: Jabatan Botani, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dengan kerjasama Borneo Rhino Alliance (BORA) telah menganjurkan Program Pemuliharaan dan Pendidikan Alam Sekitar, di Taman Botani Tun Fuad Stephens Sabah pada 28 Julai 2026.
Kerjasama pertama kali ini turut melibatkan penyertaan daripada para pensyarah serta pelajar Politeknik Kota Kinabalu yang terdiri daripada Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti, Pengajian Am dan Kejuruteraan Awam sebagai rakan strategik dalam memperkukuh usaha pemuliharaan biodiversiti dan pendidikan alam sekitar.
Sebagai simbol komitmen bersama dalam memelihara khazanah alam semula jadi, wakil daripada Jabatan Botani, DBKK, BORA dan Politeknik Kota Kinabalu telah menanam lapan spesis pokok ficus di Trek 2. Antaranya ialah F. microcarpa, F. pisocarpa, F. annulata, F. drupacea, F. depresea, F. variegata, F. racemosa dan F. albipila.
Selepas aktiviti penanaman, para peserta mengikuti sesi perkongsian ilmu bertajuk “Kepentingan Pokok Fig Dalam Pemuliharaan Biodiversiti” yang disampaikan oleh Dr. Zainal Zahari Zainuddin selaku Senior Veterinarian, BORA.
Pokok ficus atau pokok ara merupakan spesis penting dalam ekosistem hutan tropika kerana menjadi sumber makanan kepada pelbagai hidupan liar seperti burung, kelawar, primat dan mamalia lain. Penanaman spesis ini membantu memulihkan habitat semula jadi, mengekalkan keseimbangan ekosistem serta meningkatkan kelestarian biodiversiti di negeri ini.
Jabatan Botani, DBKK merakamkan penghargaan kepada Borneo Rhino Alliance (BORA), Tabin Wildlife Reserve, Politeknik Kota Kinabalu serta semua peserta yang telah menjayakan program ini.
Semoga kerjasama strategik ini terus diperkukuh bagi menyokong Sustainable Development Goals (SGD), demi memastikan warisan biodiversiti di negeri ini terus terpelihara untuk generasi masa kini dan akan datang.
Sumber Info dan Foto: Jabatan Botani, DBKK
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDikeluarkan oleh:
Bahagian Pengurusan Media dan Perhubungan Awam
Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK



