Skip to main content

Berita: KIBARAN JALUR GEMILANG, BENDERA NEGERI SABAH WARNAI MAJLIS PELANCARAN BULAN KEBANGSAAN HARI SABAH DAN KEMPEN KIBAR BENDERA 2026

  • -

    4 OGOS 2026: Kibaran Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Sabah mewarnai perkarangan Menara Kinabalu sempena Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan Hari Sabah dan Kempen Kibar Bendera 2026 yang telah berlangsung pada 1 Ogos 2026.

    Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh YB Datuk Seri Panglima Haji Masidi bin Manjun, Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Negeri Sabah mewakili Ketua Menteri Sabah.

    Hadir sama ialah YB Datuk Ewon Benedick, Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan; YB Menteri-menteri Kabinet Negeri Sabah; YBhg. Datuk Mohd Razali bin Wahab, Setiausaha Persekutuan Sabah; YBhg. Datuk Brenndon Keith Soh, Peguam Besar Negeri Sabah; YB Pembantu-pembantu Menteri Sabah; YBhg. Datuk Mohd. Sofian Alfian Nair, JP, Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Negeri Sabah dan YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu.

    Dalam majlis ini, YB Datuk Seri Masidi Manjun turut menyempurnakan simbolik penyerahan Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Sabah kepada wakil jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan serta wakil persatuan yang hadir.

    Beliau turut menyerahkan bendera kepada Puan Jainisah binti Mohd. Noor, Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Sabah yang mengetuai Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2026, sebelum membuat pelepasan konvoi di perkarangan Menara Kinabalu.

    Konvoi ini melibatkan penyertaan sebanyak 20 buah kenderaan dan 60 peserta dan akan menjelajah ke seluruh pelosok negeri bersempena dengan Bulan Kebangsaan Hari Sabah.

    Dalam kenyataan yang berasingan, YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah menyeru kepada semua pemilik dan pengusaha premis di seluruh Bandaraya Kota Kinabalu untuk bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Sabah sepanjang Bulan Kemerdekaan sebagai tanda semangat patriotisme, perpaduan serta kecintaan kepada negara dan negeri. Seruan ini melibatkan semua premis termasuklah premis perniagaan seperti kedai, restoran, hotel, pusat beli-belah dan bangunan pejabat.

    Semua pemilik premis juga diingatkan supaya memastikan bendera yang dipasang berada dalam keadaan kemas dan mengikut tatacara dan protokol yang ditetapkan.

    "Kibarkan Jalur Gemilang, Semarakkan Semangat Kemerdekaan"

    Foto: Renaldo Fernandez

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Disediakan oleh:
    Bahagian Pengurusan Media dan Perhubungan Awam
    Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK