Berita: Kunjungan Hormat Jawatankuasa Kebun Komuniti Bandaraya Kota Kinabalu Ke MARDI Sabah
Jawatankuasa Kebun Komuniti Bandaraya Kota Kinabalu telah mengadakan kunjungan hormat kepada Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) Sabah, Puan Helda Souki, pada 21 Jun 2024.
Jawatankuasa Kebun Komuniti Bandaraya Kota Kinabalu merupakan jawatankuasa yang ditubuhkan oleh DBKK pada tahun 2022 bagi mentadbir dan mengaktifkan program kebun bandar atau ‘urban farming’ di Kota Kinabalu. Ia sehala dengan Dasar Kebun Komuniti Bandar yang dikeluarkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Malaysia pada 03 Ogos 2021.
Diketuai Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Operasi) DBKK, Tuan Robert B. Lipon, kunjungan bertujuan untuk membina sinergi antara MARDI Sabah dan DBKK dalam pelaksanaan program kebun komuniti.
Hasil pertemuan kedua pihak, empat (4) komuniti kebun bandar DBKK telah dipilih sebagai peserta MARDI Sabah untuk Program Intervensi Peningkatan Penerimagunaan Agroteknologi Bagi Memperkukuh Keterjaminan Makanan di bawah Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan (PKM) 2024, oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang dijangkakan akan bermula pada Ogos 2024. Program yang pertama kali diadakan di Sabah itu akan melibatkan 26 komuniti di seluruh Malaysia.
Jawatankuasa Kebun Komuniti Bandaraya Kota Kinabalu turut diberi maklumat terkait program latihan dan perkhidmatan yang ditawarkan kepada kakitangan DBKK dan kepada orang awam, seraya melawat kedai MARDI yang menjual buku ilmiah serta produk keluaran MARDI.
Hadir bersama adalah Pengarah Jabatan Landskap, Puan Darna Badawi dan pegawai-pegawai Jabatan Landskap, DBKK.
Warga Bandaraya Kota Kinabalu yang berminat dalam aktiviti atau program kebun bandar, pihak urus setia boleh dihubungi di talian 088-244000 (Puan Lina Mekal, Jabatan Landskap, DBKK).
Terima kasih diucapkan kepada MARDI Kota Kinabalu.



