Berita: MAJLIS PENUTUPAN PROGRAM BANDAR SELAMAT TANGGUNGJAWAB BERSAMA 2026
22 SEPTEMBER 2026: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Jabatan Perancangan Bandaraya dengan kerjasama Jabatan Penyelidikan dan Inovasi telah menganjurkan Program Bandar Selamat 2.0 2026, bertempat di Dewan Mesyuarat, Bangunan DBKK pada 5 September 2026.
Penganjuran program ini turut mendapat sokongan daripada PLANMalaysia, Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah (JPBW), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cawangan Sabah, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N25 Kapayan, Jabatan Perancangan Bandaraya, DBKK dan KK Smart City Friends.
Majlis penutupan program telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Sr. Lifred Wong, Ketua Pengarah, DBKK yang mewakili Mayor Bandaraya Kota Kinabalu.
Dalam ucapan yang dibacakan, Dato’ Sri Mayor berkata, Program Bandar Selamat 2.0 merupakan satu inisiatif PLANMalaysia yang memberi penekanan kepada usaha meningkatkan keselamatan persekitaran bandar melalui pendekatan yang merangkumi aspek fizikal, pendidikan dan penglibatan masyarakat.
Jelas beliau, DBKK telah diberi kepercayaan untuk melaksanakan Program Bandar Selamat 2.0 di Kota Kinabalu dengan menerima peruntukan keseluruhan sebanyak RM400,000 daripada PLANMalaysia. Bagi komponen fizikal, DBKK sedang melaksanakan projek “Kerja-kerja Pemasangan Lampu dan CCTV Sepanjang Laluan Pejalan Kaki Berstruktur Rendah dari Dewan Masyarakat Kota Kinabalu ke Jalan Bukit Bendera”.
Dalam pada itu, antara pengisian utama dalam program ini ialah “Bicara Santai, Tapi Sampai” bertemakan “Bandar Pintar, Langkah Selamat: Sinergi DBKK dan Komuniti”.
Sesi ini telah dikendalikan oleh moderator, Dr. Mohd. Juhar bin Harun, Pensyarah Kanan merangkap Penyelaras Komponen Kebudayaan dan Kesenian, Pusat Kokurikulum dan Pemaju Pelajar (PKPP), UMS. Tiga (3) panel utama yang ditampilkan ialah YBhg. Datuk Sr. Lifred Wong; DSP Nustad bin Kirino, Ketua Operasi Darat, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kontinjen Sabah dan Encik Chong Tze Kiun, Pemimpin Pembangunan Masyarakat N25 Kapayan.
Acara turut disusuli dengan lawatan ke Kaunter Pameran Program Bandar Selamat sebelum peserta bergerak ke Starting Point Signal Hill Trail Kota Kinabalu bagi menyempurnakan gimik pelancaran Bandar Selamat, Tanggungjawab Bersama Tahun 2026 dan pelepasan aktiviti plogging yang melibatkan seramai 100 orang peserta.
“Bersama Kita Cipta Bandaraya Selamat dan Sejahtera”
Liputan: Eleanor Michelle Patrick
Foto: Renaldo Fernandez#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDikeluarkan oleh:
Bahagian Pengurusan Media dan Perhubungan Awam
Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK



