Skip to main content

Berita: MALAM GEMA SASTERA SIRI 1/2026, PELANCARAN ALBUM BAKAT DBKK DAN ANTOLOGI PUISI “SUARA DARI KOTA”

  • -

    5 OGOS 2026: Sebagai usaha berterusan dalam memartabatkan bahasa, sastera dan budaya di bandar raya ini, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah menganjurkan Malam Gema Sastera Siri 1/2026, Pelancaran Album Bakat DBKK dan Antologi Puisi “Suara Dari Kota”, di Lintasan Deasoka pada 25 Julai 2026.

    Program ini telah dirasmikan oleh YB Datuk Dr. Haji Mohd. Arifin Mohd. Arif, JP, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun DBP Ke-70 dan Ulang Tahun Bandaraya Kota Kinabalu Ke-26.

    Hadir sama ialah Puan Jennitah Nordin, Pengarah DBP Cawangan Sabah mewakili Ketua Pengarah DBP; YBhg. Datuk Sr. Lifred Wong, Ketua Pengarah, DBKK mewakili Mayor Bandaraya Kota Kinabalu; Encik Azmi Awang Talib mewakili Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah (Tugas-tugas Khas) dan Puan Faradillah binti Hj. Abdul Rani, Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat Pengurusan), DBKK.

    Pengisian program dimeriahkan dengan bacaan puisi yang sarat dengan nilai seni dan makna oleh para sasterawan serta tokoh bahasa dan sastera. Program ini turut menghmpunkan persatuan penulis, institut pendidikan guru serta pelajar institusi pengajian tinggi.

    Majlis turut menyaksikan pelancaran Album Bakat DBKK dan Antologi Puisi “Suara Dari Kota” yang menjadi kemuncak acara. Album Bakat DBKK menampilkan lapan buah lagu hasil kreativiti warga kerja DBKK yang mengangkat bakat dalaman melalui penghasilan lirik, gubahan muzik dan dendangan lagu. Manakala, Antologi Puisi “Suara Dari Kota” pula menghimpunkan karya-karya terbaik yang memenangi Pertandingan Double Six: Mengenang Jasa Pahlawan serta pertandingan bersempena dengan Hari Pahlawan Peringkat Kota Kinabalu 2025.

    Liputan: Eleanor Michelle Patrick
    Foto: Renaldo Fernandez

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Dikeluarkan oleh:
    Bahagian Pengurusan Media dan Perhubungan Awam
    Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK