Berita: MAYOR BANDARAYA KOTA KINABALU HADIR SESI PERTEMUAN BERSAMA AHLI MAJLIS KANAK-KANAK DEWAN BANDARAYA KOTA KINABALU (MKK-DBKK)
22 JULAI 2026: YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu telah menghadiri sesi pertemuan bersama Ahli Majlis Kanak-Kanak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (MKK-DBKK) yang diadakan di Dewan Mesyuarat, Bangunan DBKK pada 15 Julai 2026.
Sesi ini merupakan platform pertukaran idea, menyuarakan pandangan serta cadangan secara terus kepada pihak pengurusan tertinggi DBKK, dalam usaha membangunkan Kota Kinabalu sebagai sebuah bandar raya yang lebih selamat, inklusif dan mesra kanak-kanak.
Hadir sama dalam sesi ini ialah YBhg. Datuk Sr. Lifred Wong, Ketua Pengarah, DBKK serta Timbalan-timbalan Ketua Pengarah, DBKK.
Manakala, MKK-DBKK yang terdiri daripada 16 orang wakil telah diketuai oleh Alena Jasmeen binti Jasni Shirlin, Pengerusi MKK-DBKK bersama Muhammad Fauwaz bin Mohd. Shukor, Timbalan Pengerusi MKK-DBKK serta Ahli-ahli Majlis.
Dalam pertemuan tersebut, Ahli MKK-DBKK telah menyuarakan pelbagai idea termasuk penambahbaikan kemudahan mesra Orang Kurang Upaya (OKU), penyediaan fasiliti yang lebih inklusif dan mesra kanak-kanak, keselamatan awam serta kesejahteraan komuniti.
Dato’ Sri Mayor menyambut baik setiap idea yang dikemukakan oleh Ahli MKK-DBKK dan tidak menafikan bahawa suara kanak-kanak merupakan elemen penting dalam proses perancangan dan pembangunan bandar.
Beliau turut menzahirkan komitmen DBKK untuk terus memperkukuh pelaksanaan Child Friendly Cities Initiative (CFCI) di bawah Jabatan Penyelidikan dan Inovasi, DBKK dengan kerjasama strategik bersama UNICEF Malaysia.
Pertemuan dan penglibatan MKK-DBKK bersama DBKK diharap dapat menyumbang kepada usaha merealisasikan aspirasi Bandar Mesra Kanak-Kanak.
Sumber Info dan Foto: Jabatan Penyelidikan dan Inovasi, DBKK
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDikeluarkan oleh:
Bahagian Pengurusan Media dan Perhubungan Awam
Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK



