Berita: MEMPERKASA PENYELIDIKAN BIODIVERSITI MELALUI KOLABORASI TAMAN BOTANI TUN FUAD STEPHENS DAN UNIVERSITI MALAYSIA SABAH

  • -

    4 NOVEMBER 2026: Jabatan Botani, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah menerima kunjungan daripada pelajar tahun akhir Program Biologi Pemuliharaan dan Program Taman Alam Semulajadi & Rekreasi, Fakulti Perhutanan Tropika, Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 2 Oktober 2026. 

    Rombongan UMS disertai oleh Prof. Madya Dr. Homathevi Rahman, Dr. Hamimah Talib, Dr. Muhammad Fadzil Amram dan Pn. Azniza Mahyudin. 

    Lawatan ini menjadi platform kepada para pelajar untuk membentangkan cadangan Projek Tahun Akhir (FYP) masing-masing serta berkongsi pendekatan penyelidikan yang berkaitan dengan biodiversiti dan pemuliharaan alam sekitar.

    Jabatan Botani, DBKK amat mengalu-alukan penglibatan institusi pengajian tinggi, ahli akademik dan penyelidik dalam menjalankan aktiviti penyelidikan di taman ini. Selaras dengan fungsi utamanya sebagai pusat pemuliharaan, penyelidikan, pendidikan dan rekreasi, Taman Botani komited untuk menyokong penyelidikan saintifik khususnya dalam bidang kepelbagaian flora dan fauna, ekologi serta pemuliharaan biodiversiti.

    Penglibatan seumpama ini diharap dapat memperkukuh jaringan kerjasama di antara DBKK dan institusi akademik, di samping menjadikan Taman Botani sebagai lokasi pembelajaran dan penyelidikan lapangan yang memberi manfaat kepada pembangunan ilmu pengetahuan serta usaha pemuliharaan biodiversiti di Sabah.

    Sumber Info dan Foto: Jabatan Botani, DBKK

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Dikeluarkan oleh:
    Bahagian Pengurusan Media dan Perhubungan Awam
    Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK