Berita: Operasi Bersepadu Pemantauan Buaya, Kesan Kehadiran Buaya Di Sungai Darau, Sungai Berhampiran Bengkel Depoh, DBKK
26 OGOS 2024: Hasil pelaksanaan operasi bersepadu pemantauan buaya di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu pada 19 dan 20 Ogos lalu telah berjaya mengesan dua (2) lokasi yang mempunyai kehadiran populasi buaya iaitu di Sungai Darau dan sungai berhampiran Bengkel Depoh, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
Pemantauan bot rondaan dan dron telah merumuskan jumlah populasi buaya di Bandaraya Kota Kinabalu adalah terkawal. Bagaimanapun, operasi susulan akan diadakan pada setiap suku tahunan bagi memantau populasi buaya sekitar bandar raya.
Operasi selama dua (2) hari ini melibatkan seramai 65 anggota daripada Jawatankuasa Pengurusan Ancaman Buaya yang dianggotai oleh DBKK, Jabatan Hidupan Liar (JHL), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Marin, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Taman-Taman Sabah.
Operasi dijalankan bermula 8 pagi hingga 10 malam dan berpusat Jeti Taman Cycleway Phase 3 berhadapan Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah selain turut meliputi kawasan Taman Awam Teluk Likas I, Sungai Darau-Kalansanan dan Bengkel Depoh, DBKK.
Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kehadiran buaya di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu dinasihatkan untuk segera membuat laporan kepada pihak berkuasa melalui talian kecemasan yang disediakan:
- Talian Kecemasan Kebangsaan: 999
- Polis Diraja Malaysia (PDRM): 088-529222
- Balai Bomba Kota Kinabalu: 088-210214 / 019-2445687
- Jabatan Hidupan Liar (JHL): 088-213502
- Angkatan Pertahanan Awam Sabah: 088-232440
- Angkatan Pertahanan Awam Kota Kinabalu: 088-232453
Operasi ini merupakan langkah proaktif yang diambil untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan penduduk daripada ancaman hidupan liar.



