Berita: OPS PULAU BERSIH & HIJAU 2025, TINGKATKAN KESEDARAN KEPENTINGAN PENGURUSAN SISA PEPEJAL SISTEMATIK
17 MAC 2025: Ops Pulau Bersih & Hijau 2025 anjuran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal yang diadakan selama dua (2) hari, iaitu 13 hingga 14 Mac 2025, berakhir pada Jumaat lalu.
Pada hari terakhir Ops Pulau Bersih & Hijau 2025, operasi telah ditumpukan di sekitar Kampung Lok Urai dan Kampung Kasuapan di Pulau Gaya dan Kampung Pulau Sepanggar, di Pulau Sepanggar.
Antara aktiviti yang dilaksanakan termasuklah hebahan kepada penduduk berkaitan perkhidmatan pengutipan sisa pepejal, penerangan lanjut berkaitan pelupusan sisa yang betul dan kepentingan pengasingan sisa untuk kitar semula.
Dengan tambahan lebih 300 rumah yang dicapai pada hari terakhir operasi, membawa jumlah keseluruhan rumah yang menerima hebahan sepanjang program berlangsung kepada melebih 700 buah rumah.
Program ini telah berjaya memperkasakan kesedaran masyarakat tentang kepentingan pengurusan sisa pepejal yang sistematik.
DBKK berharap agar usaha ini akan dapat diteruskan dengan kerjasama erat semua pihak, termasuk penduduk setempat, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) serta agensi berkaitan, bagi memastikan kawasan kepulauan di sekitar Kota Kinabalu kekal bersih, hijau dan lestari.
Semoga penduduk di kampung-kampung yang telah menerima hebahan mendapat manfaat daripada maklumat yang telah disampaikan, selain peningkatan tahap kesedaran terhadap kepentingan menguruskan sisa pepejal dengan bertanggungjawab demi menjaga kebersihan dan kelestarian alam sekitar.
Untuk mengikuti usaha kebersihan semasa, orang ramai boleh melayari laman Facebook dan TikTok “KK Bersih & Hijau”.
Ayuh, bersama-sama kita jadikan kebersihan sebagai amalan hidup demi kesejahteraan generasi kini dan akan datang. Kebersihan adalah tanggungjawab kita bersama!
Sumber Info dan Foto: Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, DBKK
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestari
#KKBersihDanHijau
#SayangiPulauKitaBahagian Media dan Komunikasi
JPPA, DBKK



