Skip to main content

Berita: Penganjuran Jelajah PEPS1S Sempena MPKP 2024, Sejajar Usaha Meningkatkan Kesedaran Kepentingan Penjagaan Gigi

  • 18 JULAI 2024: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya (JKPB) dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Pergigian Kawasan Kota Kinabalu telah menganjurkan Program Jelajah PEPS1S sempena Minggu Promosi Kesihatan Pergigian (MPKP) di pekarangan bangunan DBKK, hari ini.

    Bertemakan “1,2,3, Senyum! Jaga Gigi Senyuman Abadi”, objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran berkaitan penjagaan kesihatan pergigian dalam kalangan masyarakat setempat, serta memperluaskan lagi capaian kemudahan pergigian. Program telah bermula seawal 8.00 pagi dan telah menyaksikan penyertaan dari anggota-anggota DBKK yang turut berpeluang menjalani saringan kesihatan pergigian dan rawatan pencegahan dalam Bas Pergigian Bergerak yang disediakan.

    Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu turut berkesempatan meluangkan masa melawat sekitar lokasi program yang turut diisi dengan pameran informasi seperti kesihatan dan penjagaan gigi, bahaya merokok, kesihatan menerusi pengambilan makanan, pendidikan kesihatan pergigian dan permainan interaktif. Dato’ Sri Mayor turut menyampaikan cenderahati kepada Dr. Datu Mohd. Amyril bin Abduludin, Pegawai Pergigian Kawasan, Pejabat Kesihatan Pergigian Kawasan Kota Kinabalu.

    Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada anggota-anggota kesihatan serta warga DBKK yang bersama-sama menjayakan Program Jelajah PEPS1S. Semoga inisiatif dan komitmen ini dapat meningkatkan kesedaran umum dalam hal berkaitan kepentingan dan kaedah penjagaan kesihatan pergigian yang baik.