Skip to main content

Berita: PROGRAM ADVOKASI PASAR PATUH BERSAMA PENIAGA DAN PENGUSAHA

  • -

    24 SEPTEMBER 2026: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah melaksanakan Program Advokasi Pasar PATUH Bersama Peniaga dan Pengusaha, di Pasar Besar Kota Kinabalu pada 23 September 2026.

    Program ini dirasmikan oleh YBrs. Tuan Aris bin Mamat, Timbalan Ketua Pengarah Penguatkuasa (Pencegahan), KPDN dan merupakan satu platform advokasi dan perkongsian maklumat kepada peniaga serta pengusaha berkaitan aspek pematuhan, pelesenan perniagaan dan pensijilan halal.

    Penganjuran program ini turut mendapat kerjasama agensi-agensi berkaitan bagi memastikan para peniaga dan pengusaha memperoleh maklumat, panduan dan penjelasan yang tepat dalam menjalankan aktiviti perniagaan secara teratur, selamat serta mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

    Seramai 140 orang peniaga dan pengusaha telah menghadiri program ini. Antara pengisian utama program ialah penyampaian Taklimat Sesi Advokasi Pematuhan dan Program Pasar PATUH oleh KPDN sebelum diteruskan dengan Taklimat Pelesenan Perniagaan oleh Jabatan Pelesenan, DBKK.

    Selain itu, peserta turut diberi taklimat mengenai Permohonan Sijil Halal yang disampaikan oleh Majlis Ugama Islam Negeri Sabah (MUIS) bagi memberikan pendedahan dan panduan kepada para peniaga berhubung proses serta keperluan mendapatkan pensijilan halal.

    Kerjasama dan komitmen berterusan daripada para peniaga amat penting dalam mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih teratur, selamat dan kondusif, sekali gus memastikan kepentingan serta kesejahteraan pengguna dan komuniti setempat sentiasa terpelihara.

    Sumber Info: Jabatan Pelesenan, DBKK
    Foto: Renaldo Fernandez

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Dikeluarkan oleh:
    Bahagian Pengurusan Media dan Perhubungan Awam
    Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK