Skip to main content

Berita: PROGRAM KK KOMUNITI SEJAHTERA 2.0 & KK LOVE BIKE: FREE RIDE TOUR - SUNSET RIDE 2026 DAN CITRA BUDAYA KOTA KINABALU “KK CULTURE ON STAGE 2026” SIRI 3 (BULAN SEPTEMBER)

  • -

    22 SEPTEMBER 2026: Dalam usaha berterusan menggalakkan penglibatan komuniti dalam acara kebudayaan, Jabatan Pelancongan dan Kesejahteraan Masyarakat, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah menganjurkan Program KK Komuniti Sejahtera 2.0 & KK Love Bike: Free Ride Tour - Sunset Ride 2026 dan Citra Budaya Kota Kinabalu "KK Culture On Stage 2026" pada 12 September 2026.

    Program dimulakan seawal jam 10 pagi di KK Sentral menerusi program KK Komuniti Sejahtera 2.0 yang diisi dengan pelbagai aktiviti menarik untuk penyertaan ramai. Antaranya ialah Pertandingan Teka Silang Kata, Pertandingan Membina Blok dan Pertandingan Konten TikTok, pembukaan reruai pameran daripada agensi luar dan jabatan-jabatan DBKK serta taklimat berkaitan “Kempen LiLaTin” dan “Kempen e-waste”.

    Acara kemudian diteruskan dengan KK Love Bike: Free Ride Tour - Sunset Ride 2026 pada sebelah petang, yang membawa para peserta menikmati kayuhan santai ke lokasi-lokasi menarik di sekitar pusat bandar. Kayuhan bermula dari KK Sentral, menuju ke Anjung Senja, Segama Waterfront, Jeti DBKK, Sabah Tourism Board dan Menara Jam Atkinson sebelum berakhir di pekarangan Bangunan DBKK.

    Menjelang malam, kemeriahan diteruskan menerusi program Citra Budaya Kota Kinabalu “KK Culture On Stage 2026” Siri 3 (Bulan September) yang berlangsung bermula 7 malam, di Jalan Jati. Bertemakan “Malaysia MADANI, Budaya Memperkasa Komuniti”, program ini mengetengahkan kepelbagaian seni dan budaya tempatan menerusi persembahan tarian dan nyanyian.

    Antara yang mencuri perhatian ialah persembahan kebudayaan oleh Mari Mari Cultural Village dan Kumpulan Penari Kinabalu, dengan pelbagai tarian tradisional daripada etnik dan budaya berbeza. Antaranya termasuk tarian Samrah, Medtemu Sumirid, Zapin, tarian Cina, Ukui dan Bollywood sebelum ditutup dengan gabungan tarian Anggalang serta Magunatip. Suasana turut diserikan dengan persembahan nyanyian lagu-lagu tradisional dan patriotik.

    Program ini akan terus dianjurkan dengan tema yang berbeza setiap bulan, sebagai platform yang memberi ruang kepada orang ramai untuk bersama-sama menyertai pelbagai aktiviti kebudayaan dalam suasana yang santai dan meriah

    Sumber Info: Jabatan Pelancongan dan Kesejahteraan Masyarakat, DBKK
    Foto: Renaldo Fernandez dan Jabatan Pelancongan dan Kesejahteraan Masyarakat, DBKK

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Disediakan oleh:
    Bahagian Pengurusan Media dan Perhubungan Awam
    Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK