Berita: PROGRAM PENANAMAN 1,000 POKOK SAYUR DAN GOTONG-ROYONG DI SEMBULAN, PROMOSIKAN BUDAYA HIJAU DAN LESTARI DI BANDARAYA KOTA KINABALU
07 OKTOBER 2025: Dalam usaha menjadikan Kota Kinabalu sebagai sebuah bandar raya hijau, bersih dan lestari, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Jabatan Landskap telah menganjurkan Program Penanaman 1,000 Pokok Sayur dan Gotong-Royong di Sembulan bertempat di pekarangan Tadika Perpaduan Sembulan Baru B, pada 04 Oktober 2025.
Penganjuran program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif di bawah Program Local Agenda 21 (LA 21) Tahun 2025 dan hasil kerjasama erat bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Program ini telah dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu yang hadir bersama isteri, YBhg. Datin Sri Hajah Adreen Aderizza binti Mohamad Soffi, Pengerusi PUSPANITA Cawangan Daerah Kota Kinabalu.
Dalam ucapannya, Dato’ Sri Mayor menegaskan bahawa program seperti ini bukan sahaja mendidik masyarakat tentang nilai berdikari dan pengurangan kos sara hidup melalui penanaman sayuran sendiri, malah turut menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan komuniti bandar.
Jelas beliau lagi, amalan menanam sendiri hasil makanan seperti cili, terung dan sayuran hijau dapat mengurangkan kebergantungan kepada pasaran serta menyumbang kepada keselamatan makanan bandar iaitu satu isu yang semakin menjadi perhatian di peringkat global.
Turut hadir dalam program ini ialah YBhg. Datuk Sr. Lifred Wong, Ketua Pengarah DBKK; Encik Robert Lipon, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Operasi) DBKK merangkap Pengerusi Program; Puan Faradillah binti Haji Abdul Rani, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Khidmat Pengurusan) DBKK; Encik Victor Gerard Kuasi, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pengurusan Kewangan) DBKK; dan Encik Helmi Shahril bin Ag Kassim, Ahli Lembaga Penasihat DBKK.
Antara sorotan utama program ialah pelancaran penerbitan ilmiah berjudul “Spesies Pokok Sekitar Bandaraya Kota Kinabalu” yang mana merupakan hasil usaha Unit Penyelidikan dan Pemuliharaan Landskap, Jabatan Landskap DBKK.
Penerbitan ini bertujuan menjadi sumber rujukan kepada masyarakat, khususnya dalam meningkatkan kesedaran serta penghargaan terhadap kepelbagaian dan kepentingan spesies pokok di sekitar bandar raya. Buku ini memperkenalkan sebanyak 40 spesies tumbuhan yang terdiri daripada 30 spesies pokok teduhan, enam (6) spesies pokok palma dan empat (4) spesies pokok renek.
Dalam kesempatan itu, Dato’ Sri Mayor turut menyempurnakan sesi penyerahan anak pokok sayur kepada wakil-wakil komuniti kebun bandar sebelum meneruskan acara dengan gimik penanaman pokok sayur.
Program ini turut menyaksikan penglibatan aktif anggota DBKK dan komuniti setempat dalam aktiviti gotong-royong pembersihan, edaran risalah kesihatan dan penanaman pokok sayuran di kebun komuniti.
Selain itu, pelbagai pengisian menarik turut diadakan bersempena program ini seperti Bazar Komuniti dan Jualan Buku DBKK di Lintasan Deasoka, Jualan Rahmah Madani, serta demonstrasi pencegahan kebakaran dan keselamatan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Turut berlangsung pameran keselamatan yang melibatkan pelbagai agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertanian, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Jabatan Penjara, Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Bandaraya Kota Kinabalu serta Komuniti Kebun Bandar Kota Kinabalu.
Liputan: Eleanor Michelle Patrick
Foto: Mohd. Asruddey Rusli#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDikeluarkan oleh:
Bahagian Media dan Komunikasi
JPPA, DBKK



