Berita: Program Penanaman Pokok DBKK Bersama Miss World 2024, Miss Krystyna Pyszkova Zahirkan Sokongan Melestarikan Bandaraya Kota Kinabalu

25 JULAI 2024: DBKK hari ini telah berkongsi momen indah dan bermakna bersama Miss Krystyna Pyszkova, Miss World 2024, yang telah meluangkan masa menanam anak pokok di laman bangunan pejabat DBKK, sebagai tanda sokongan terhadap usaha melestarikan Bandaraya Kota Kinabalu.Krystyna yang turut disertai oleh Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi Miss World Organization, Julia Morley; Naib Pengerusi Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) Cawangan Sabah, Datuk Susan Chang, Pemegang Lesen Rasmi dan Pengarah Nasional Miss World Malaysia, Dr. Sean Wong serta Miss World Malaysia 2023, Miss Saroop Roshi telah menanam bibit pokok ‘Kopsia Arborea’, yang merupakan spesis pokok berbunga dan signifikan kepada keindahan landskap bandar raya.
Turut serta dalam kumpulan delegasi ini adalah Pengarah Miss World Organization, Stephen Douglas Morley dan Pengurusan Miss World Organization, Vivian Grant Harris.
Hadir menyambut dan meraikan kehadiran Krystyna dan delegasi Miss World Organization di DBKK adalah Sr. Lifred Wong, Ketua Pengarah, DBKK mewakili Mayor Bandaraya Kota Kinabalu; Pengurusan Tinggi DBKK dan warga kerja DBKK yang tidak melepaskan peluang merakam gambar kenangan bersama ratu cantik dunia itu.
Kota Kinabalu berbesar hati menjadi salah satu daripada destinasi pilihan delegasi Miss World 2024 ini yang sememangnya akan mengangkat imej Kota Kinabalu ke perhatian antarabangsa.



