Berita: Sesi Taklimat Dan Lawatan Tapak Sempena Program KK Cleanup Day 4.0 : Pulau Gaya & Pulau Sepanggar
Laporan dan Sumber Foto: Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, DBKK
Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal (JPSP) akan menganjurkan satu lagi program kebersihan di peringkat kepulauan bandar raya iaitu KK Cleanup Day 4.0 : Pulau Gaya & Pulau Sepanggar, selama tiga (3) hari iaitu pada 2 Oktober sehingga 4 Oktober 2024 dengan melibatkan semua kampung di kepulauan yang didaftarkan dalam rekod DBKK.Program ini merupakan kesinambungan dari program KK Cleanup Day yang diadakan sejak tahun 2021. Pada bulan Mei yang lalu semasa siri pertama program ini diadakan bagi tahun 2024, lebih kurang 97 tan sampah telah berjaya dilupuskan.
Sehubungan dengan itu, bagi mewar-warkan inisiatif kebersihan ini, JPSP telah mengadakan sesi taklimat dan lawatan tapak di semua kampung yang terlibat iaitu Kg. Lok Urai, Kg. Kasuapan, Kg. Pulau Gaya Asli, Kg. Lobong dan Kg. Torong Logong di Pulau Gaya serta Kg. Pulau Sepanggar di Pulau Sepanggar pada hari ini.
Sambutan yang diterima adalah amat memberangsangkan dan diharapkan program ini mampu memberi impak positif kepada masyarakat seterusnya meningkatkan kesedaran untuk melupuskan sampah dengan bertanggungjawab.
Seluruh warga bandar raya adalah diseru untuk bersama-sama menyokong program KK Cleanup Day 4.0: Pulau Gaya & Pulau Sepanggar dengan cara melaksanakan aktiviti pembersihan persekitaran rumah masing-masing bagi mencapai matlamat kelestarian alam dan kebersihan kawasan seluruh bandar raya Kota Kinabalu.
Bagi mengikuti perkembangan semasa program KK Cleanup Day, masyarakat bandar raya bolehlah melayari laman TikTok dan Facebook KK Bersih Dan Hijau.



