Berita: SINERGI PENDIDIKAN DAN DEWAN BANDARAYA KOTA KINABALU TERAJUI AGENDA KEUSAHAWANAN MUDA DI KOTA KINABALU
18 OKTOBER 2025: Program Hari Keusahawanan (TVET) Daerah Kota Kinabalu 2025 telah berlangsung dengan jayanya hasil kerjasama strategik antara Pejabat Pendidikan Daerah Kota Kinabalu, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
Penganjuran ini menjadi simbol komitmen bersama dalam memperkukuh ekosistem pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) serta melahirkan generasi muda yang berdaya saing, kreatif dan berjiwa keusahawanan.
Program ini turut menerima penyertaan yang amat menggalakkan dengan jumlah keseluruhan 1,738 individu yang terdiri daripada murid sekolah rendah, sekolah menengah dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) seramai 683 orang, 50 murid prasekolah, 317 guru pembimbing, 85 ahli jawatankuasa pelaksana (AJK), 246 pengetua, guru besar dan pentadbir sekolah, serta 35 wakil rakan strategik tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Penglibatan menyeluruh ini membuktikan komitmen tinggi pelbagai pihak dalam menjayakan agenda pembangunan keusahawanan.
Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, dalam ucapannya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak atas usahasama serta kegigihan yang ditunjukkan dalam menjayakan program ini.
Menurut beliau, kolaborasi antara pihak pendidikan, DBKK dan industri tempatan bukan sahaja menyokong aspirasi pendidikan TVET, malah selaras dengan agenda Kota Kinabalu Smart City 2030 yang menitikberatkan keseimbangan antara pembangunan insan dan kemajuan ekonomi.
Beliau turut menegaskan bahawa program seumpama ini bukan hanya berperanan sebagai aktiviti pendidikan, tetapi juga sebagai lapangan sebenar (real-life platform) bagi pelajar mengasah kemahiran insaniah dan keusahawanan melalui pengalaman praktikal seperti jualan usahawan muda, pertandingan booth, serta pertunjukan fesyen prasekolah bertemakan kerjaya.
Program ini turut menjadi jambatan penting antara dunia pendidikan dan komuniti bandar raya, dengan penglibatan aktif pihak industri, komuniti tempatan serta rakan strategik CSR dalam memberi sokongan, bimbingan dan peluang pasaran kepada pelajar-pelajar yang terlibat.
Dato’ Sri Mayor turut menambah bahawa pembangunan bandar raya tidak seharusnya dilihat dari sudut infrastruktur semata-mata, sebaliknya perlu berteraskan pembangunan modal insan yang berilmu, berintegriti dan berjiwa usahawan.
Program Hari Keusahawanan TVET Daerah Kota Kinabalu 2025 diharap dapat menjadi platform berterusan dalam melahirkan generasi muda yang berfikiran kreatif, inovatif serta berani mencipta peluang baharu, sekali gus menyumbang kepada kemajuan ekonomi tempatan dan kesejahteraan masyarakat bandar raya.
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDisediakan oleh:
Bella Berhaman
Pegawai PeneranganMohd. Asruddey Rusli
Jurugambar



