Berita: TAHNIAH! BANDARAYA KOTA KINABALU DIIKTIRAF SEBAGAI SMART CITY EARLY ADOPTER 2025
28 OKTOBER 2025: Bandaraya Kota Kinabalu telah diiktiraf sebagai Smart City Early Adopter 2025 bersempena dengan Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia, Kongres Perancangan Kebangsaan dan MyCity Expo 2025 yang berlangsung di Dewan Seri Siantan, Perbadanan Putrajaya, pada 28 Oktober 2025.
Majlis telah dirasmikan oleh YAB Datuk Amar Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Hadir sama ialah YB Tuan Nga Kor Ming, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan YB Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, Menteri Wilayah Persekutuan.
Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) merupakan salah satu daripada 27 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh Malaysia yang telah menerima pengiktirafan di bawah Anugerah Penarafan Smart City Malaysia 2025.
Anugerah ini diterima oleh YBhg. Datuk Sr. Lifred Wong, Ketua Pengarah, DBKK mewakili Mayor Bandaraya Kota Kinabalu. Hadir sama ialah Puan Tantinny Fung Chew Li, Pengarah Jabatan Perancangan Bandaraya dan pegawai daripada Jabatan Perancangan Bandaraya, DBKK.
Pengiktirafan ini diberi atas dasar komitmen dan usaha berterusan dalam melaksanakan inisiatif bandar pintar yang menyokong pembangunan mampan, kecekapan perkhidmatan serta kesejahteraan komuniti bandar raya.
Kejayaan ini mencerminkan usaha gigih DBKK dalam menjayakan agenda pembangunan bandar pintar serta peranan aktif DBKK sebagai peneraju inisiatif bandar pintar di Bandaraya Kota Kinabalu.
Sekalung tahniah diucapkan kepada seluruh warga DBKK atas dedikasi dan semangat berpasukan yang membawa kepada pencapaian membanggakan ini!
Sumber Info dan Foto: Jabatan Perancangan Bandaraya, DBKK
Suntingan: Bahagian Media dan Komunikasi, JPPA#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDikeluarkan oleh:
Bahagian Media dan Komunikasi
JPPA, DBKK



