Berita: PROGRAM INSPIRASI & REALITI: PERKONGSIAN BANDAR MESRA USIA 2026
14 APRIL 2026: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah mengadakan Program Inspirasi & Realiti: Perkongsian Bandar Mesra Usia 2026 sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk membentuk sebuah bandar raya yang lebih inklusif buat warganya, bertempat di Hilton Hotel, pada 13 April 2026.
Program anjuran Jabatan Penyelidikan dan Inovasi, DBKK ini bertujuan untuk menyampaikan pengetahuan dan pengalaman mengenai konsep Bandar Mesra Usia daripada bandar yang telah berjaya melaksanakannya, selain memberi inspirasi kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti dalam merancang hala tuju untuk merealisasikan bandar mesra usia.
Majlis disempurnakan oleh YBhg. Dato' Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu. Dalam ucapan alu-aluannya, Dato’ Sri Mayor menzahirkan harapan agar, program ini berperanan sebagai platform strategik untuk memperkukuh kefahaman, memperkasa perkongsian ilmu serta menyemarakkan amalan terbaik dalam pembangunan Bandar Mesra Usia.
Tambah beliau, melalui perkongsian pengalaman daripada bandar yang telah berjaya dalam pelaksanaannya, khususnya Pulau Pinang, DBKK dan pihak terlibat akan dapat memperoleh panduan praktikal serta inspirasi untuk merancang langkah awal ke arah bandar raya yang lebih inklusif, selamat dan mesra usia.
Program kemudian diteruskan dengan sesi Perkongsian Bandar Mesra Usia yang disampaikan oleh YBhg. Dato' Ong Bee Leng, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC). Sesi yang penuh dengan perkongsian ilmu ini membuka ruang kepada hadirin untuk mengambil iktibar serta mengaplikasikan amalan terbaik dalam pelaksanaannya di peringkat tempatan.
Sebelum mengakhiri sesi perkongsiannya, YBhg. Dato’ Ong turut membuka sesi soal jawab yang memberi peluang kepada hadirin untuk mengemukakan pandangan, berkongsi idea serta mendapatkan penjelasan lanjut, sekali gus menyemarakkan suasana interaksi dan menjadikan sesi tersebut lebih bermakna.
Turut hadir dalam program ini ialah YBhg. Datuk Sr. Lifred Wong, Ketua Pengarah, DBKK; barisan Pengurusan Tinggi serta Ketua-ketua Jabatan, DBKK.
Penganjuran program ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada usaha merealisasikan Bandar Mesra Usia demi kesejahteraan hidup warga Bandaraya Kota Kinabalu.
Liputan: Eleanor Michelle Patrick
Foto: Renaldo Fernandez#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDikeluarkan oleh:
Bahagian Pengurusan Media dan Perhubungan Awam,
Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK



