Skip to main content

Berita: DBKK LAKSANA PEMBERSIHAN MENYELURUH SEKITAR UNIVERSITY UTAMA CONDOMINIUM, TELIPOK

  • -

    16 JUN 2026: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Jabatan Perkhidmatan Pembersihan Bandaraya (JPPB) telah melaksanakan Ops Bersih di sekitar kawasan komersial University Utama Condominium (UUC), Telipok pada 8 Jun 2026.

    Operasi tersebut diketuai oleh Encik Rozie Khan, Pengarah bersama Ketua Unit Encik Sebastian Stephen serta lima (5) orang anggota daripada Unit Kawal Selia, JPPB, DBKK.

    Tindakan ini diambil susulan aduan awam yang diterima serta hasil pemantauan lapangan yang mendapati tahap kebersihan kawasan berkenaan berada pada tahap kurang memuaskan.

    Hasil pemeriksaan mendapati terdapat premis yang melakukan kesalahan meletakkan dan melonggokkan sampah serta sisa binaan di kawasan belakang premis. Sehubungan itu, sebanyak lapan kompaun dikeluarkan serta arahan pembersihan serta-merta kepada pemilik premis yang terlibat.

    Pada masa yang sama, Unit Penyapuan dan Unit Parit, JPPB turut melaksanakan operasi ‘Major Cleaning’ melibatkan beberapa Unit Penyapuan dan Parit di kawasan UUC Comm Area bagi menangani isu kebersihan yang telah dikenal pasti. Semua kerja pembersihan yang dirancang telah berjaya diselesaikan menerusi operasi ini.

    Bagi memastikan tahap kebersihan kawasan terus terpelihara, tindakan susulan melalui pemantauan berterusan, operasi penguatkuasaan dan pengeluaran kompaun akan terus dilaksanakan sebagai langkah mendidik serta memupuk rasa tanggungjawab bersama dalam kalangan peniaga, pengunjung dan penduduk setempat.

    DBKK tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan yang boleh menjejaskan kebersihan, kesihatan dan kesejahteraan awam. Usaha pemantauan dan penguatkuasaan akan terus diperkasa dari semasa ke semasa, termasuk di kawasan luar pusat bandar, bagi memastikan persekitaran Bandaraya Kota Kinabalu sentiasa bersih, selamat dan kondusif.

    Sumber Info dan Foto: Jabatan Perkhidmatan Pembersihan Bandaraya, DBKK

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Disediakan oleh:
    Bahagian Pengurusan Media dan Perhubungan Awam
    Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK