Skip to main content

Berita: MAYOR BANDARAYA KOTA KINABALU TINJAU PERSEDIAAN MENJELANG PEMBUKAAN SEMULA PERDANA PARK TANJUNG ARU SABTU INI

  • -

    2 JULAI 2026: YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu telah mengetuai Walkabout Pra Pembukaan Perdana Park Tanjung Aru sebagai persediaan menjelang pembukaan semula taman kepada orang awam bermula Sabtu (4 Julai 2026).

    Sesi walkabout ini bertujuan meninjau tahap kesiapsiagaan serta memastikan kemudahan asas dan persekitaran taman berada dalam keadaan selamat, bersih dan selesa untuk menerima kehadiran pengunjung.

    Pembukaan semula ini dibuat susulan penyerahan rasmi pengurusan Perdana Park Tanjung Aru oleh Kementerian Kewangan Negeri Sabah kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) pada 29 Jun 2026.

    Turut hadir dalam sesi ini ialah YBrs. Tuan Robert Lipon, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), DBKK; YBrs. Tuan Karim bin Haji Rahim, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Luar Bandar dan Penguatkuasaan), DBKK; YBrs. Tuan Victor Gerard Kuasi, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan Kewangan), DBKK; Ketua-ketua Jabatan serta pegawai-pegawai kanan, DBKK dan Kementerian Kewangan Negeri Sabah.

    Perdana Park Tanjung Aru akan beroperasi setiap hari bermula jam 7 pagi hingga 7 malam. Bagi memastikan kawalan dan keselamatan fasiliti taman, pintu pagar akan ditutup selepas waktu operasi dan orang awam tidak dibenarkan berada di kawasan taman.

    Buat masa ini, caj tempat letak kereta adalah percuma sehingga sistem pembayaran tempat letak kereta digital dilaksanakan.

    Sebagai makluman, beberapa kawasan masih ditutup sepenuhnya kepada orang awam kerana masih berada dalam fasa penilaian keselamatan. Kawasan yang terlibat ialah air pancut berirama, air pancut interaktif, alat permainan kanak-kanak bersebelahan pejabat operasi serta sistem dispenser air.

    Orang awam dilarang memasuki kawasan tersebut dan DBKK tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kemalangan atau kecederaan akibat pelanggaran larangan berkenaan.

    DBKK akan melaksanakan kerja-kerja naik taraf secara berperingkat bagi meningkatkan keselesaan dan keselamatan pengunjung. Pengunjung juga dinasihatkan supaya berhati-hati ketika menggunakan kemudahan taman, khususnya trek joging sintetik dan kawasan permainan kanak-kanak, yang mungkin berada dalam keadaan licin semasa hujan.

    Orang awam diminta untuk sentiasa mematuhi peraturan dan larangan taman yang berikut:

    • Jaga kebersihan dan tidak membuang sampah merata-rata tempat

    • Patuh arahan dan papan tanda peraturan taman

    • Patuh arahan Pegawai DBKK yang bertugas

    • Dilarang memetik tanaman atau bunga

    • Dilarang merokok atau meyalakan api

    • Dilarang merosakkan harta benda taman

    • Dilarang membuat bising

    • Dilarang membawa binatang peliharaan

    • Dilarang memasang sepanduk

    Aktiviti memancing, mandi-manda, barbeku, berkhemah dan menjaja adalah tidak dibenarkan. Sebarang penganjuran aktiviti atau program yang ingin dianjurkan di kawasan taman hendaklah mendapat kelulusan DBKK terlebih dahulu.

    DBKK menyeru kepada orang ramai untuk sentiasa mengamalkan sikap bertanggungjawab dengan menjaga kebersihan, mematuhi arahan serta bersama-sama memastikan kemudahan awam di taman ini sentiasa berada dalam keadaan baik untuk kegunaan bersama.

    Sumber Info: Jabatan Botani, DBKK
    Foto: Renaldo Fernandez, Mohd. Asruddey Rusli dan Jabatan Botani, DBKK

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Dikeluarkan oleh:
    Bahagian Pengurusan Media dan Perhubungan Awam
    Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK