Skip to main content

Berita: SESI LIBAT URUS DEWAN BANDARAYA KOTA KINABALU BERSAMA OPERATOR LIGHT-EMITTING DIODE (LED) BAGI PENGUATKUASAAN DAN PELAKSANAAN LESEN PERTUKARAN PAPARAN VISUAL SERTA KEMAS KINI PAPARAN IKLAN

  • -

    20 JULAI 2026: Bagi memperkukuh pelaksanaan dan penguatkuasaan lesen pertukaran paparan visual dan kemas kini paparan iklan di sekitar bandar raya, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Jabatan Pelesenan telah menganjurkan Sesi Libat Urus bersama operator Light-Emitting Diode (LED), pada 17 Julai 2026.

    Sesi libat urus ini menghimpunkan operator paparan iklan LED dan papan iklan (billboard) yang beroperasi di sekitar Kota Kinabalu sebagai sebahagian daripada usaha DBKK untuk memastikan pematuhan terhadap syarat pelesenan dan peraturan yang berkuat kuasa.

    Sesi ini telah dipengerusikan oleh YBrs. Tuan Robert Lipon, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi). Hadir sama ialah pegawai-pegawai kanan daripada Jabatan Kawalan Bangunan, Jabatan Perundangan, Jabatan Penguatkuasaan dan Jabatan Pelesenan, DBKK.

    Pengisian utama sesi libat urus ini adalah penyampaian taklimat bertajuk "Penguatkuasaan Lesen Iklan Light-Emitting Diode (LED): Lesen Pertukaran Paparan Visual dan Kemas Kini Paparan Iklan" yang disampaikan oleh Encik Leong Tze Fui, Pengarah Jabatan Pelesenan, DBKK.

    Penganjuran sesi ini bertujuan meningkatkan kefahaman dan kesedaran dalam kalangan operator mengenai garis panduan, prosedur dan syarat-syarat pelesenan iklan LED, termasuk tatacara pertukaran paparan visual serta kemas kini kandungan iklan yang mematuhi kehendak undang-undang dan peraturan yang ditetapkan oleh DBKK.

    Selain memberi penerangan mengenai proses permohonan lesen dan aspek penguatkuasaan, sesi ini turut menjadi platform bagi memperjelaskan tanggungjawab semua pihak dalam memastikan setiap paparan iklan dikendalikan secara sah, teratur dan mematuhi peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

    Dalam masa yang sama, sesi libat urus ini memperkukuh hubungan kerjasama antara DBKK, operator iklan dan pihak kontraktor dalam mewujudkan mekanisme pelaksanaan serta penguatkuasaan yang lebih konsisten, telus dan berkesan. Penekanan turut diberikan kepada kepentingan pemantauan berterusan bagi memastikan pengurusan lesen serta paparan iklan sentiasa mematuhi piawaian yang ditetapkan.

    Komitmen dan kerjasama yang ditunjukkan oleh para operator iklan mencerminkan kesediaan semua pihak untuk bersama-sama memastikan pengurusan paparan iklan di Bandaraya Kota Kinabalu dilaksanakan secara lebih sistematik, berintegriti dan mematuhi peraturan.

    Sumber Info: Jabatan Pelesenan, DBKK

    Foto: Renaldo Fernandez

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Dikeluarkan oleh:
    Bahagian Pengurusan Media dan Perhubungan Awam
    Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK