Berita: DBKK LAKSANA OPERASI BERSEPADU DI TEMPAT LETAK KERETA BERSEBELAHAN PASAR BESAR KOTA KINABALU
13 OGOS 2026: Dalam usaha meningkatkan tahap pematuhan terhadap peraturan dan Undang-undang Kecil (UUK) yang berkuat kuasa d sekitar bandar raya, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah melaksanakan operasi bersepadu di tempat letak kereta bersebelahan Pasar Besar Kota Kinabalu pada 1 dan 2 Ogos 2026.
Operasi yang dijalankan bermula jam 10 malam ini melibatkan seramai 43 anggota DBKK daripada Jabatan Pelesenan dan Jabatan Penguatkuasaan, DBKK.
Hasil operasi yang dijalankan selama dua hari tersebut, seramai 14 orang penjaja didapati menjalankan aktiviti menjaja tanpa lesen yang sah di kawasan yang tertakluk di bawah UUK Penjaja 1966.
Daripada jumlah tersebut, seramai sembilan (9) orang penjaja telah ditawarkan kompaun di bawah UUK Penjaja 3(11) kerana menjalankan aktiviti menjaja tanpa lesen yang sah. Beberapa peralatan yang digunakan bagi menjalankan aktiviti menjaja turut disita.
Selain itu, sebanyak empat (4) buah kenderaan yang digunakan bagi menjalankan aktiviti menjaja tanpa lesen yang sah di kawasan berkenaan turut disita.
Operasi penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan tahap pematuhan terhadap peraturan dan undang-undang kecil yang berkuat kuasa di sekitar bandar raya sentiasa dipertingkatkan.
Sumber Info dan Foto: Jabatan Pelesenan, DBKK
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDikeluarkan oleh:
Bahagian Pengurusan Media dan Perhubungan Awam
Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK



