Skip to main content

Berita: TAHNIAH! DBKK TERIMA ANUGERAH NATIONAL BIM E-SUBMISSION (NBeS) BERSEMPENA DENGAN MALAYSIA BIM DAY 2026

  • -

    29 OKTOBER 2026: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah menerima Anugerah National BIM e-Submission (NBeS) bersempena dengan Malaysia BIM Day 2026 sebagai pengiktirafan terhadap komitmen dan usaha DBKK dalam menyokong serta melaksanakan semakan pelan bangunan melalui platform NBeS.

    Anugerah tersebut telah disampaikan oleh YB Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya dalam Majlis Perasmian Malaysia BIM Day 2026 yang berlangsung di Auditorium, Kompleks Perbadanan Putrajaya pada 15 September 2026. Hadir sama ialah YB Hannah Yeoh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Malaysia.

    Sementara itu, DBKK telah diwakili oleh Puan Lilitia Jenneh, Pengarah Jabatan Kawalan Bangunan, DBKK dan Encik Kalvin Liaw, Pegawai Teknikal Khas, DBKK Holdings Sdn. Bhd.

    Malaysia BIM Day 2026 diterajui oleh CIDB Malaysia melalui CIDB Digital Sdn. Bhd. dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya (PPj) serta sokongan daripada Kementerian Kerja Raya (KKR) Malaysia. Bertemakan “BIM Beyond Design”.

    DBKK merupakan antara tiga organisasi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang menerima Anugerah NBeS, bersama Perbadanan Putrajaya dan Majlis Perbandaran Kulim, Kedah.

    Pencapaian ini menjadi pemangkin kepada DBKK untuk terus memperkukuh transformasi digital dan penerapan teknologi Building Information Modelling (BIM) dalam penyampaian perkhidmatan, selaras dengan usaha mewujudkan proses kelulusan pelan bangunan yang lebih cekap, sistematik dan berintegrasi.

    Sumber Info dan Foto: Jabatan Kawalan Bangunan, DBKK

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Dikeluarkan oleh:
    Bahagian Pengurusan Media dan Perhubungan Awam
    Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK