Skip to main content

Berita: PROGRAM KK KOMUNITI SEJAHTERA ‘LEAVE NO ONE BEHIND: TOWARDS SUSTAINABLE MARKET’ KEMBALI DENGAN TEMA PESTA KAAMATAN

  • 15 MEI 2025: Program KK Komuniti Sejahtera ‘Leave No One Behind: Towards Sustainable Market’ anjuran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Jabatan Pelancongan dan Kesejahteraan Masyarakat telah diadakan buat kali kedua, bertempat di KK Sentral, pada 10 Mei 2025.

    Mengangkat tema "Pesta Kaamatan", pelbagai aktiviti-aktiviti santai dan pertandingan telah diadakan sesuai untuk penyertaan pelbagai peringkat umur, bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang.

    Program dimulakan dengan acara KK Love Bike: Free Ride Tour & KK Harmony Ride yang melibatkan seramai 17 peserta daripada Institut Latihan Perindustrian Kota Kinabalu (ILPKK). Rombongan ini telah berbasikal ke tiga (3) pusat ibadah sekitar bandar raya. Antaranya ialah Gurdwara Sahib Sikh Temple, Masjid Negeri Sabah dan Sacred Heart Cathedral. Di setiap 'pitstop' ini, para peserta telah diberi peluang untuk melawat sekitar pusat ibadah sambil mendengar taklimat ringkas, sebelum kembali berbasikal ke KK Sentral.

    Program kemudian diteruskan dengan aktiviti-aktiviti santai, seperti Persembahan Tradisional Gong (Komuniti Homestay Id Pogimpaan), Demo Seni Jahitan dan aktiviti memanah. Para hadirin turut berpeluang untuk bertanding dalam pertandingan yang diadakan, antaranya ialah Pertandingan Melipat Sigar, Pertandingan Melukis dan Pertandingan Congkak.

    Penganjuran Program KK Komuniti Sejahtera ‘Leave No One Behind: Towards Sustainable Market’ merupakan inisiatif untuk meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup penduduk bandar, menerusi pelaksanaan pelbagai program pelancongan dan aktiviti melibatkan komuniti.

    Pada masa yang sama, program ini turut mempromosikan Pusat Kraftangan: KK Sentral Market yang menawarkan pelbagai jenis kraftangan tempatan yang menampilkan keunikan budaya dan kaum yang terdapat di Negeri Sabah.

    Program ini dijayakan hasil kerjasama erat bersama Kraftangan Malaysia, Sabah Tourism Board (STB), Balai Seni Lukis, DBKK Holdings Sdn. Bhd., MATTA, Sabah Tourist Guide Association (STGA) dan Komuniti Homestay Id Pogimpaan.

    Program KK Komuniti Sejahtera ‘Leave No One Behind: Towards Sustainable Market’ ini akan diteruskan pada minggu kedua setiap bulan, dengan mengangkat tema yang berlainan untuk mengalakkan penyertaan daripada masyarakat.

    Liputan: Eleanor Michelle Patrick
    Foto: Renaldo Fernandez

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Bahagian Media dan Komunikasi
    JPPA, DBKK