Skip to main content

Berita: SESI LIBAT URUS KK CLEANUP DAY 2.0 & CABARAN “KAMPUNGKU BERSIH”

  • -

    15 OGOS 2025: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah mengadakan Sesi Libat Urus KK Cleanup Day 2.0 & Cabaran “Kampungku Bersih” – Edisi Kepulauan bertempat di Dewan Mesyuarat, Tingkat 1, Bangunan DBKK, pada 13 Ogos 2025.

    Sekitar 130 peserta yang terdiri daripada wakil komuniti, penduduk kampung dan pegawai DBKK telah hadir bagi membincangkan pelaksanaan serta pengukuhan usaha kebersihan di kawasan kepulauan dan perairan Kota Kinabalu.

    Majlis telah dipengerusikan oleh Encik Robert Lipon, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Operasi), DBKK, manakala taklimat telah disampaikan oleh Encik Leong Tze Fui, Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal DBKK.

    Menerusi sesi libat urus ini, DBKK telah memperincikan kriteria penilaian Cabaran “Kampungku Bersih” – Edisi Kepulauan bagi memastikan peserta memahami aspek yang dinilai, di samping menggalakkan persaingan sihat antara komuniti. Peserta juga dimaklumkan mengenai inisiatif pengumpulan botol plastik untuk dihantar ke pusat kitar semula.

    Hadir sama ialah Encik Sani Yusof (DUN Tanjung Aru) & Encik Nerudin Ludah (DUN Karambunai), wakil Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM); Puan Darna Badawi, Pengarah Jabatan Pelancongan dan Kesejahteraan Masyarakat, DBKK; Puan Fauziahton Ag Samad, Pengarah Jabatan Penyelidikan, Inovasi dan Hal Ehwal Antarabangsa, DBKK serta Ahli-ahli juri daripada Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, Jabatan Landskap dan Jabatan Penguatkuasaan, DBKK.

    Warga Bandaraya Kota Kinabalu adalah dijemput untuk hadir dan memeriahkan lagi program KK Cleanup Day 2.0 yang akan diadakan di Dataran Bandaraya, Jalan Tun Fuad Stephens, pada 23 Ogos 2025. Sementara itu, Cabaran “Kampungku Bersih” – Edisi Kepulauan akan berlangsung mulai 23 Ogos hingga 27 September 2025.

    Untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan program ini, orang ramai boleh melayari Facebook dan TikTok “KK Bersih & Hijau”.

    Sumber Info dan Foto: Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, DBKK

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Bahagian Media dan Komunikasi
    JPPA, DBKK