Skip to main content

Berita: DBKK LAKSANA KERJA-KERJA PENCERIAAN SEKITAR BANDARAYA KOTA KINABALU MENJELANG SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN

  • -

    19 OGOS 2025: Menjelang sambutan Bulan Kebangsaan yang bakal tiba, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah menggerakkan kerja-kerja penceriaan dan pencahayaan di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu, yang bertujuan untuk mewujudkan persekitaran yang lebih bersih, ceria dan selamat.

    Inisiatif ini dapat dilihat menerusi tindakan Jabatan Landskap, DBKK yang menjalankan operasi penyelenggaraan dan pemeriksaan pokok-pokok di sekitar bandar raya.

    Kerja-kerja penyelenggaraan akan dilaksanakan pada waktu malam, iaitu 7.00 malam hingga 10.00 malam, bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas dengan melibatkan beberapa lokasi, iaitu Jalan K.K Bypass, Jalan Tun Razak, Jalan Tun Fuad Stephens, Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Tugu dan Jalan Gaya Street.

    Kerja-kerja pemangkasan akan dilaksanakan bagi mengurangkan dahan rimbun dan berjuntaian serta membuka dahan-dahan mati pada pokok di bawah jagaan DBKK. Kesihatan pokok akan diperiksa dari masa ke masa bagi mengurangkan risiko bahaya kepada orang awam dan harta benda.

    Pada masa yang sama, aspek pencahayaan turut dipertingkat melalui Jabatan Kejuruteraan, DBKK dengan pemasangan lampu hiasan berwarna-warni di beberapa lokasi strategik sekitar bandar raya. Antaranya ialah Bulatan Nenas, Bulatan Istiadat, Bulatan Masjid Bandaraya, Bulatan Bandaran, Bulatan Sembulan serta beberapa lokasi lain.

    Orang awam dinasihatkan untuk sentiasa peka terhadap keadaan persekitaran serta mematuhi papan tanda kerja yang diletakkan di lokasi-lokasi yang terlibat.

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Sumber Info dan Foto: Jabatan Landskap & Jabatan Kejuruteraan, DBKK

    Disediakan oleh:
    Bahagian Media dan Komunikasi
    JPPA, DBKK