Berita: SESI 'KICK-OFF' KAJIAN LAPANGAN BAGI EKSPEDISI SAINTIFIK LEMBANGAN SUNGAI DARAU, KOTA KINABALU
06 SEPTEMBER 2025: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Jabatan Pelancongan dan Kesejahteraan Masyarakat telah menganjurkan Sesi 'Kick-Off' Kajian Lapangan bagi Ekspedisi Saintifik Lembangan Sungai Darau, Kota Kinabalu, di Gelanggang Futsal Kampung Darau, pada 04 September 2025.
Antara matlamat dan objektif Sesi 'Kick-Off' Kajian Lapangan bagi Ekspedisi Saintifik Lembangan Sungai Darau, Kota Kinabalu ialah:
Mencapai objektif Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan mengintegrasikan pertimbangan alam sekitar
Memperkukuh komitmen pelancongan lestari melalui penglibatan pihak berkepentingan, termasuk agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan serta komuniti setempat
Sebagai pembukaan rasmi bagi para penyelidik untuk memulakan kajian dan penyelidikan mengikut tajuk penyelidikan masing-masing di Kampung Darau
Sebagai sesi suai kenal di antara penyelidik dan komuniti Kampung Darau dan pengenalan lokasi penyelidikan
Mengeratkan hubungan kerja yang baik di antara DBKK dan UMS, para penyelidik dan komuniti
Program ekspedisi ini juga akan mendapat input dan penyediaan idea penyelesaian terhadap isu-isu di kawasan kajian, khususnya masalah pembuangan sampah melalui inovasi yang dicadangkan dalam usaha memartabatkan pelancongan lestari.
Kajian di lapangan dijalankan pada 04 September hingga 11 September 2025 dengan penyertaan sebanyak lapan kumpulan penyelidik daripada Jabatan Perhutanan Sabah, DBKK dan Universiti Malaysia Sabah (UMS). Kertas kajian peserta telah diterima dan diluluskan oleh Sabah Biodiversity Centre (SaBC).
Kajian ini meliputi ekologi dan pemeliharaan hutan bakau, kepelbagaian dan densiti burung, tinjauan awal Kelip-kelip serta potensi pembangunan pelancongan berasaskan komuniti.
Hadir dalam majlis ini ialah Puan Darna binti Badawi, Pengarah Jabatan Pelancongan dan Kesejahteraan Masyarakat, DBKK; Professor Dr. Awangku Hassanal Bahar Pengiran Bagul, Pengarah Pusat Pengurusan EcoCampus, UMS; Puan Natrah Farhana binti Abd Rahman, Pegawai Sains, Seksyen Konservasi & Sistem Maklumat, Sabah Biodiversity Centre dan Encik Asin bin Lamsin, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Kampung Darau.
DBKK dengan kerjasama UMS akan menganjurkan seminar pembentangan dapatan penyelidikan sekali gus Majlis Penutupan ekspedisi yang dijangka akan disempurnakan oleh Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, pada 26 September 2025.
Terdahulu, pada 04 Ogos lalu, telah berlangsung Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara DBKK dan UMS bagi program DBKK-UMS: Sustainable Tourism Living Lab: Innovation and Engagement.
Sumber Info dan Foto: Jabatan Pelancongan dan Kesejahteraan Masyarakat, DBKK
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDisediakan oleh:
Bahagian Media dan Komunikasi
JPPA, DBKK



