Berita: MAJLIS MAKAN MALAM PERSIDANGAN PEGAWAI-PEGAWAI DAERAH NEGERI SABAH KALI KE-28 TAHUN 2025
13 SEPTEMBER 2025: Tirai Persidangan Pegawai-Pegawai Daerah Negeri Sabah Kali Ke-28 Tahun 2025 dilabuhkan dengan penganjuran Majlis Makan Malam oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), bertempat di Shangri-La Tanjung Aru Resort pada 12 September 2025.
Majlis ini disempurnakan dengan kehadiran YB Datuk Seri Panglima Jahid Jahim, Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah. Dalam ucapannya, beliau memaklumkan bahawa persidangan kali ini telah menghasilkan beberapa resolusi yang akan dibukukan untuk perhatian pengurusan tertinggi Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).
YB Menteri turut menegaskan bahawa pemantauan rapi perlu dilaksanakan agar resolusi yang dirumuskan tidak sekadar kekal sebagai dokumen, sebaliknya dapat diterjemahkan kepada tindakan dan pencapaian nyata di lapangan.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah YB Datuk Samad bin Jambri@Jamri, Pembantu Menteri II KPLB; YBhg. Datuk Hajah Myrna Jimenez, Setiausaha Tetap KPLB; Encik Karim bin Haji Rahim, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pembangunan Luar Bandar dan Penguatkuasaan), DBKK mewakili Mayor Bandaraya Kota Kinabalu selaku penganjur majlis; Puan Patricia Vain, Timbalan Setiausaha Tetap (Pengurusan), KPLB; Puan Faradillah binti Haji Abdul Rani, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Khidmat Pengurusan), DBKK merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja Majlis; Encik Norsafi bin Haji Dukah, Timbalan Setiausaha Tetap (Pembangunan), KPLB; serta Ar. Tressie Yap Chui Kie, Ahli Lembaga Penasihat DBKK.
Sebagai simbolik komitmen bersama memperkukuh pentadbiran daerah, majlis turut menyaksikan Penyerahan Resolusi kepada YB Menteri yang disempurnakan oleh Wakil Pegawai Daerah, Encik Firuz Idzualdeen @ Benetty bin Mohd. Dzul, Pegawai Daerah Lahad Datu.
Terdahulu, Persidangan Pegawai-Pegawai Daerah Negeri Sabah Kali Ke-28 Tahun 2025 bertemakan “Daerah Maju, Rakyat Sejahtera” telah berlangsung dengan jayanya pada 11 dan 12 September 2025.
Penganjuran Majlis Makan Malam ini merupakan acara kemuncak persidangan dan menjadi wadah pengukuhan ukhuwah serta semangat kebersamaan dalam kalangan pegawai daerah.
Liputan: Eleanor Michelle Patrick
Foto: Bahagian Media dan Komunikasi, JPPA#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDikeluarkan oleh:
Bahagian Media dan Komunikasi
JPPA, DBKK



