Skip to main content

Berita: SAMBUTAN KRISMAS PERINGKAT NEGERI SABAH 2025

  • -

    23 DISEMBER 2025: Sambutan Krismas Peringkat Negeri Sabah 2025 melakar satu sejarah penting apabila penganjurannya memasuki tahun ke-20 sejak mula diperkenalkan, dan buat pertama kalinya diangkat secara rasmi ke peringkat Negeri Sabah.

    Pencapaian ini mencerminkan perkembangan berterusan sambutan ini sebagai platform yang menyatukan masyarakat dalam suasana harmoni, saling menghormati dan penuh kebersamaan.

    Berlangsung dari 16 hingga 19 Disember 2025 di Padang Merdeka, Kota Kinabalu, sambutan ini dianjurkan di bawah kerajaan negeri Sabah melalui Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah. Penganjuran ini dikendalikan oleh Jawatankuasa Penganjur yang diketuai oleh Datuk Ewon Benedick, Timbalan Ketua Menteri III Sabah merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, manakala Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, bertindak sebagai Pengurusi Bersama Jawatankuasa Pelaksana bersama pihak gereja (Sabah Council of Churches, SCC).

    Sebagai acara berskala negeri, sambutan ini bukan sahaja menjadi perayaan keagamaan, tetapi juga berperanan sebagai platform pertemuan masyarakat daripada pelbagai latar belakang untuk berkongsi kegembiraan dan memperkukuh semangat perpaduan.

    Mengangkat tema “Hope for Peace, In Love”, sambutan ini menekankan mesej bahawa keamanan dan keharmonian bermula dengan kasih sayang, saling memahami serta sikap menghormati antara satu sama lain dalam kehidupan bermasyarakat.

    Majlis perasmian sambutan ini telah disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa bin Haji Aman, Yang di-Pertua Negeri Sabah. Sambutan ini turut diserikan dengan kehadiran Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sabah,serta wakil-wakil kerajaan negeri, tokoh-tokoh agama, wakil komuniti, dan rakan-rakan strategik daripada pelbagai agensi.

    Sepanjang empat (4) malam penganjuran, sambutan ini diraikan dalam suasana penuh kemeriahan menerusi pelbagai pengisian yang bersifat inklusif dan mesra rakyat. Antara pengisian sepanjan sambutan ini diadakan adalah termasuk penyampaian sumbangan kepada Badan Kebajikan dan Kanak-Kanak, persembahan koir Krismas, persembahan kebudayaan dan komuniti, nyanyian artis jemputan, persembahan muzik rohani, serta program-program yang membawa mesej keamanan, kasih sayang dan kebersamaan.

    Buat pertama kalinya, Majlis Jamuan Bersama Rakyat telah dianjurkan bersempena, dengan penyediaan jamuan dilaksanakan melalui penglibatan 111 gerai penyertaan. Inisiatif ini menjadi antara pengisian utama sambutan, menyediakan ruang kebersamaan kepada orang ramai untuk berkumpul dan menikmati suasana perayaan dalam semangat keterangkuman.

    Sepanjang tempoh penganjuran, sambutan ini telah menarik kehadiran kira-kira 50,000 pengunjung, melibatkan penduduk di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu khususnya, serta pengunjung dari pelbagai daerah di Negeri Sabah secara amnya, sekali gus memperlihatkan daya tarikan sambutan ini sebagai acara berskala negeri.

    Secara keseluruhannya, Sambutan Krismas Peringkat Negeri Sabah 2025 bukan sekadar sebuah perayaan tahunan, malah berfungsi sebagai wadah kebersamaan, pemangkin interaksi sosial serta simbol keharmonian yang mencerminkan kekuatan masyarakat majmuk di Negeri Sabah.

    Kejayaan penganjuran tahun ke-20 ini mengukuhkan kedudukannya sebagai acara berskala negeri yang terus relevan dan bermakna untuk diteruskan pada masa hadapan.

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Disediakan oleh:
    Unit Penerangan, Pejabat Mayor DBKK
    Bella Berhaman
    Pegawai Penerangan

    Mohd. Asruddey Rusli / Renaldo Fernandez
    Jurugambar